KUANTAN 4 Ogos – Hasrat seorang pemandu ladang di Cameron Highlands dekat sini membuat pinjaman peribadi untuk dijadikan modal perkahwinannya tidak kesampaian apabila dia kerugian RM20,650 ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 16 Mei lalu, mangsa yang berusia 30 tahun menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya dari sebuah syarikat pinjaman wang berlesen.
“Individu itu memaklumkan syarikat tersebut di bawah kerajaan dan Bank Negara serta membuat promosi kadar faedah pinjaman 0.5 peratus dan permohonan adalah terhad.
“Mangsa tertarik dengan tawaran itu dan ingin meminjam wang sebanyak RM30,000 untuk tujuan modal perkahwinannya. Selepas itu, individu tersebut meminta mangsa menghantar dokumen untuk penyemakan status pinjaman peribadi berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, pada hari sama, suspek memberitahu mangsa bahawa permohonannya lulus dan akan memberi surat kelulusan pinjaman pada 17 Mei lalu.
“Pada 17 Mei lepas, suspek menghantar surat tersebut melalui WhatsApp dan selepas itu suspek memaklumkan mangsa perlu membuat bayaran permulaan RM550 bagi tujuan bayaran bulanan bagi mengeluarkan wang daripada pinjaman peribadi berkenaan.
“Setelah itu, mangsa memasukkan wang sebanyak 12 kali transaksi ke atas penama berlainan yang diberikan oleh suspek,” katanya.
Menurutnya, pemandu ladang itu berasa dirinya ditipu setelah ingin membatalkan pinjaman tersebut namun dikehendaki membayar proses pembatalan pinjaman tersebut.
“Mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











