Bursa Malaysia dibuka rendah - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dibuka rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Bursa Malaysia dibuka rendah bagi seluruh papan semasa awal dagangan hari ini selari dengan bursa serantau berikutan kebimbangan berterusan terhadap perang perdagangan dan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat yang gagal menarik perhatian pelabur global, kata peniaga.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.61 mata kepada 1,630.26 daripada 1,634.87 ketika ditutup semalam.

Indeks barometer itu dibuka 6.07 mata lebih rendah kepada 1,628.8.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lingkungan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 193 berbanding 659, manakala 179 kaunter tidak berubah, 1,452 kaunter tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.29 bilion unit bernilai RM49.39 juta.

Seperti dijangkakan, Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Rabu berkata, ia mengurangkan penanda aras kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun untuk melonjakkan ekonomi dan inflasi yang lemah dalam keadaan perang perdagangan AS-China yang berlarutan.

Bagaimanapun, kenyataan Pengerusi Fed Jerome Powell bahawa bank pusat itu akan lebih ‘bersabar’ untuk beberapa lagi penurunan kadar faedah menjelang akhir tahun ini telah meletakkan pelabur dalam keadaan berhati-hati.

Sementara itu, AS dan China mengakhiri rundingan perdagangan antara mereka di Shanghai tanpa sebarang perjanjian, walaupun perunding yang mewakili kedua-dua kuasa besar ekonomi itu menggambarkan rundingan tersebut adalah positif.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, bursa tempatan dijangka mengalami tekanan menurun berterusan.

Katanya, Bursa Malaysia terus sukar mencatatkan peningkatan berikutan ketidaktentuan baharu susulan perang perdagangan AS-China yang berpanjangan selain pendirian berpihak kepada kadar faedah rendah Fed mendorong ekuiti global memberi reaksi negatif terhadapnya.

“Ketidaktentuan pasaran yang berterusan dijangka menyebabkan indeks utama bergerak lebih rendah di tengah-tengah kekurangan minat belian baharu, sementara prospek pertumbuhan pendapatan tidak menggalakkan menjadi isu utama menjelangnya pelaporan kewangan korporat bulan ini.

“Berdasarkan paras sokongan segera pada 1,637 semalam, paras sokongan seterusnya kini disandarkan pada 1,630, diikuti 1,616,” kata firma penyelidikan tersebut.

Sebaliknya, Malacca Securities berkata, aktiviti belian semasa harga rendah susulan penurunan baru-baru ini akan menyaksikan had kenaikan kepada paras masing-masing 1,650 dan 1,660.

Aktiviti penjualan di bursa tempatan turut meluas kepada saham berharga rendah memandangkan aktiviti pengambilan untung meningkat.

“Memandangkan wujud ketidaktentuan perdagangan global baharu, kami menjangkakan penurunan baru-baru ini akan terus berlarutan.

“Sekiranya tidak berlaku ia dijangka hanya sementara dengan minat belian kecil daripada peserta runcit disebabkan sentimen pasaran lemah,” jelasnya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini