BATU PAHAT 4 Ogos – Empat nelayan tempatan berdepan detik cemas dan seakan berada di ambang maut apabila bot mereka terbalik ketika keluar mencari ikan pada kedudukan kira-kira 9.5 kilometer barat daya Tanjung Tohor di sini pukul 6.30 pagi tadi.
Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, bot itu yang berpangkalan di sini pada awalnya dilaporkan keluar untuk menangkap ikan dan dijadualkan pulang pada esok.
“Semasa kejadian tali pukat bot telah tersangkut pada sebuah kapal dagang yang melalui kawasan tersebut. Ini mengakibatkan bot tersebut diheret dan gagal dikawal lalu terbalik.
“Terdapat empat orang awak-awak berjaya menyelamatkan diri dan menunggu bantuan di atas bot yang terbalik itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Sejurus menerima kejadian katanya, Maritim Malaysia menggerakkan dua buah bot bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa.
“Kesemua mangsa yang berumur di antara 28 hingga 49 tahun itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Sementara itu, nelayan diingatkan agar sentiasa menyediakan peralatan keselamatan secukupnya dan memastikan kondisi bot dalam keadaan baik sebelum turun ke laut kerana dikhuatiri keadaan cuaca buruk sejak kebelakangan ini.
Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat pada talian 07-4344020. – UTUSAN ONLINE











