KUALA LUMPUR – Beberapa pemain bintang skuad hoki negara bakal mencurahkan ilmu mereka menerusi Program Pembangunan Sukan Hoki PDRM yang akan dijalankan di seluruh negara.
Program anjuran Persatuan Hoki PDRM sudah pun berlangsung kali pertama 14 Julai lalu di Stadium Hoki Kompleks Tuanku Syed Putra Kangar.
Peserta yang terdiri dalam kalangan pelajar bakal menerima tunjuk ajar daripada pemain bintang seperti pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor serta Farah Ayuni Yahya yang pernah dinobatkan selaku penjaga gol terbaik Asia.
Ketiga-tiga mereka adalah anggota polis berpangkat inspektor.
Timbalan Presiden Persatuan Hoki PDRM, Superintendan Cyril Edward berkata, program yang memasuki edisi kedua itu pada tahun ini memfokuskan pembangunan jati diri pelajar melalui nilai kesukanan.
“Objektif utama program pembangunan sukan hoki ini bagi menerapkan polisi kemasyarakatan antara polis dengan masyarakat melalui elemen sukan.
“Namun bagi sukan hoki pula kita memfokuskan pelajar di peringkat menengah agar mereka dapat menjauhi sebarang aktiviti tidak sihat ketika berada di luar waktu persekolahan.
“Pelajar akan menjalani ujian intensif dengan bimbingan daripada bekas pemain dan pemain hoki kebangsaan yang kini berkhidmat dalam PDRM,” katanya.
Mengulas lanjut, Cyril berkata di samping mengekang pelajar daripada aktiviti jenayah, program yang mendapat sokongan minuman kesihatan, Milo itu juga memfokuskan pencarian bakat baru dalam sukan hoki.
“Sekurangnya pelajar berpeluang menjadikan sukan hoki ini sebagai kerjaya apabila mereka tamat persekolahan nanti,” katanya.











