Bijaksana Sultan Pahang Ke-6 dan iktibar rakyat - Utusan Malaysia

Bijaksana Sultan Pahang Ke-6 dan iktibar rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah selamat disempurnakan dengan penuh adat istiadat kebesaran raja-raja Melayu. Turut hadir berangkat raja-raja Melayu dari Negeri-Negeri Melayu yang membentuk persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia. Dif-dif kehormat dihadiri oleh Seri Paduka Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong adalah satu istiadat yang secara teknikalnya kita boleh saksikan setiap lima tahun sekali yang dibuat mengikut giliran sembilan raja-raja Melayu untuk menaiki takhta. Sebelum Yang di-Pertuan Agong bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia, Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat walau pun secara ikut gilirnya sudah ada ketetapan. Ini kerana, Majlis Raja-Raja perlu memastikan bahawa baginda yang akan menaiki takhta ini benar-benar boleh menjalankan tugas dan layak sepenuhnya untuk memerintah dengan kewarasan dan kebijaksanaan.

Keunikan sistem Raja Berpelembagaan ini adalah satu simbolik keistimewaan di negara ini kerana tidak ada sistem di mana-mana negara di dunia yang mengamalkan sistem adil dan saksama ini. Kesemua 15 sultan dan Yang Dipertua Negeri yang pernah menduduki takhta kerajaan Malaysia telah menjalankan tugas dengan baik dan adil. Pertabalan kali ini adalah sejarah yang kita perlu kenang kerana Seri paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 ini berasal dari Pahang dan baginda telah ditabal sebagai sultan yang memerintah Negeri Pahang setelah kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Baginda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang juga pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1979. Pada ketika itu, Sultan Abdullah baru berusia 20 tahun dan dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang. Seawal usia 20 tahun, baginda sudah diberi tugas untuk memerintah Negeri Pahang selama lima tahun sementara Paduka Ayahanda bersemayam di atas tahkta kerajaan Malaysia. Tanggal 6 Mac 1986, Al Sultan Abdullah telah bertemu jodoh dengan seorang puteri raja dari Johor. Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah anakanda kepada Sultan Iskandar iaitu Sultan Yang memerintah Negeri Johor yang juga Yang di-Pertuan Agong Ke-8 sekali gus pasangan diraja ini mencipta sejarah menaiki takhta dengan kedua-dua baginda pernah menjadi anakanda Yang di-Pertuan Agong.

Memuatkan artikel berkaitan…

Putera baginda, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang pada usia 23 tahun. Sifat dan ciri-ciri yang dimiliki baginda membuatkan baginda disayangi rakyat jelata di negeri Pahang. Baginda saling tidak tumpah seperti Sultan Abdullah dari segi cara menyantuni rakyat dan meminati bidang sukan. Baginda juga melanjutkan pelajaran ke kolej yang sama dengan ayahanda baginda iaitu Kolej Ketenteraan Sand Hurst di London, United Kingdom (UK). Pemangku Raja Pahang dididik dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan pendidikan agama, Baginda juga mempunyai karisma yang luar biasa di usia semuda ini untuk memimpin dan mendampingi rakyat tanpa kekok.

Istiadat raja-raja Melayu adalah perkara yang amat unik dan mempunyai kemegahan tersendiri. Istiadat-istiadat ini telah bertapak di bumi bertuah ini ratusan tahun lamanya dengan diselaputi agama Islam sebagai penaung kepada segala istiadat, maka ia membuktikan bahawa Perlembaagaan Persekutuan tidak ada kecacatan dan kekhilafan mengikut fasal 181 Perlembagaan Persekutuan. Pada zaman sebelum mencapai kemerdekaan, kuasa raja-raja telah dikikis sedikit demi sedikit setelah kemasukan residen-residen British ke setiap negeri di Tanah Melayu dan mereka mencampuri urusan pentadbiran. Setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem beraja dikekalkan tetapi untuk mencapai kemerdekaan, sistem demokrasi berparlimen harus diwujudkan. Semenjak itu, peranan raja-raja semakin terhakis kerana kerakusan ahli-ahli politik mencipta nama dan menonjolkan diri sehingga lupa akan siapa tuan yang sebenar.

Justeru, jika kita lihat hari ini, adat istiadat raja-raja Melayu semakin tidak mendapat perhatian golongan muda kerana tidak ada didikan dari rumah. Kerajaan juga perlu mengambil berat akan hal ini kerana jika terhapusnya keghairahan golongan muda akan istiadat-istiadat yang memacu Perlembagaan Malaysia dari wujudnya Tanah Melayu yang bertuah ini akan pincanglah negara. Unsur-unsur momokan dari pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap institusi diraja adalah punca kegusaran yang melanda. Pihak-pihak ini seakan tidak mengenang apa itu budi dan pekerti dan membuatkan institusi ini dilihat membawa mudarat. Mencari jati diri adalah kunci utama golongan muda tidak mengira kaum di Malaysia ini akan kepentingan dan penglibatan raja-raja Melayu dalam membentuk bumi yang kita pijak ini. Jati diri adalah benteng terhadap segala omong kosong dan doktrinasi pihak-pihak yang cuba menjatuhkan sistem. Golongan muda perlu lihat dan perhalusi dengan lebih dekat peranan sistem beraja dari segala aspek rohani dan jasmani, intelektual dan komprehensif.

Jika kita telusuri titah Yang di-Pertuan Agong ketika pertabalan, Seri Paduka ada bertitah supaya janganlah pertabalan dan sistem Raja Berpelembagaan ini menjadi satu simbolik semata-mata. Seri Paduka cukup arif dalam melihat secara terus terhadap apa yang berlaku hari ini. Seri Paduka juga menegur akan kepincangan yang berlaku dalam arena politik negara oleh usaha-usaha pihak yang kotor dan akan mengotori minda generasi akan datang sekali gus boleh mengganggu-gugat keamanan negara. Di dalam satu temu bual bersama The Sunday Times, Seri Paduka berhasrat ingin menyatupadukan rakyat melalui sukan dan ujar baginda, program sukan dari seawal umur 12 tahun perlu dipergiatkan lagi bagi membentuk figura-figura sukan yang akan mengharumkan nama negara. Melalui sukan, negara akan maju dari semua segi termasuk ekonomi. Diharap, kementerian berkenaan akan mengambil berat berkenaan titah itu supaya dimanfaatkan.

Di dalam era Kesultanan moden, Sultan Abdullah adalah Sultan Pahang yang ke-6 memerintah negeri Pahang dan jajahan takluknya. Pada tahun 1836 bermula era moden pemerintahan Kesultanan Melayu Pahang. Bersemayam di atas tahkta Kerajaan Negeri Pahang adalah Sultan Ahmad Mua’zzam Shah dan baginda mula membuka pusat pentadbiran di Pekan, Pahang. Sultan Mahmud menggantikan baginda selepas kemangkatan Baginda dan diikuti oleh Sultan Abdullah adinda kepada Sultan Mahmud. Melalui perkahwinan, Sultan Abdullah dikurniakan Putera yang diberi nama Abu Bakar. Sultan Abu Bakar adalah waris pertama yang menggunakan gelaran Tengku Mahkota Pahang dan kemudiannya menggantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Pahang dan mamakai gelaran Sultan Abu Bakar. Sultan Abu Bakar juga menjadi Sultan yang mula memajukan Pahang dengan pesat dan bertindak mengalihkan pusat pentadbiran negeri ke Kuantan. Maka, tidak hairanlah pada upacara istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, adinda dan anakanda-anakanda baginda mengenakan pakaian kebesaran persis Sultan Abu Bakar. Melalui perkahwinan baginda dengan Puteri Raja dari Perak, Sultan Abu Bakar memahkotakan Sultan Ahmad Shah dan seterusnya menggantikan baginda sebagai Sultan Pahang ke-5.

Sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia sering disamakan dengan sistem beraja di England. Ini kerana, Malaysia memperoleh hak merdekanya dari negara itu. Persoalan ini boleh dirungkai dengan sistem kedua-dua negara berbeza kerana Perlembagaan di England tidak pernah meletakkan ratu mereka sebagai mempunyai kuasa di dalam undang-undang tertinggi negara (bertulis) tetapi di Malaysia Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa ke atas tiga cabang pentadbiran iaitu Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman. Ini jelas undang-undang tertinggi negara dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang dituntut oleh perlembagaan bagi menyempurnakan pelantikan (Yang di-Pertuan Agong) ialah sumpah jawatan seperti yang tertera dalam perkara 37, Bahagian Tiga, Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan. Mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong juga adalah memikul empat tugas berat termasuk menegakkan kedaulatan undang-undang, mengikut undang-undang yang sedia ada dan akan datang, menjalankan pemerintahan dengan adil dan aman dan memelihara agama Islam.

Raja-raja Melayu harus kita perhalusi gerak-geri dan lenggok santun mereka kerana darah yang mengalir di dalam tubuh mereka adalah darah yang sama yang melalui zaman gelap Tanah Melayu. Susur galur mereka berusaha mempertahankan apa yang mereka bina untuk kita sekalian hamba rakyat. Sejarah telah membuktikan bahawa pembentukan negara Malaysia ini adalah hasil daripada diplomasi yang telah susur galur mereka bina ratusan tahun dahulu, justeru, layaknya mereka untuk masih kekal berkuasa di takhta tidak boleh disangkal lagi. Generasi muda dan generasi akan datang perlu diterap dan ditanam di dalam jiwa mereka jati diri dan sifat hormat bertuan raja yang bersemayam. Pakaian kebesaran, alunan muzik dan maksud-maksud lain yang perlu kita olahkan adalah perkara pokok kerana hal ini akan menjadi kebanggan kita dan anak cucu kita suatu masa nanti.

Era berubah, pemikiran adalah satu aspek yang mencabar kepada revolusi manusia. Maka, tidak hairan lah raja-raja Melayu juga tidak lekang dek arus kemodenan. Situasi politik yang masih lagi boleh dikawal mungkin merupakan satu aspek kenapa rakyat tidak diperlihatkan tentang fungsi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu. Maka tidak hairanlah segelintir pihak sanggup berlaku biadab terhadap institusi agung ini. Kita tidak mahu anak cucu kita termakan bahana yang kita pilih.

* Penulis merupakan Presiden Pertubuhan Melayu Bangkit Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini