RAMALLAH 31 Julai – Walaupun baru berusia empat tahun, seorang kanak-kanak lelaki Palestin telah dipanggil polis Israel untuk disoalsiasat selepas budak itu didakwa membaling batu ke arah kenderaan pihak berkuasa di Baitulmuqaddis Timur, baru-baru ini.
Lapor Middle East Monitor, Muhammad Rabi’ Elayyan dipanggil puluhan polis Israel dari rumahnya di Issawiya, perumahan Palestin antara Universiti Hebrew dan tembok pemisah sebelum dibawa ke sebuah balai polis di Salah Eddin Street.
Ekoran itu, Muhammad dibawa oleh bapanya, Rabi’ Elayyan, 35, ke balai polis pagi semalam dan berdasarkan rakaman video oleh Pusat Maklumat Wadi Hilweh, budak tersebut menangis semasa dibawa bapanya masuk ke premis terbabit.
Polis rejim mendakwa Muhammad melontar batu ke arah kenderaan polis, memaksa mereka memanggil budak itu bagaimanapun dakwaan tersebut dinafikan Rabi’ Elayyan.
“Anak saya terlalu muda untuk memahami apa itu polis apatah lagi melemparkan batu terhadap mereka.
“Saya mencabar mereka mengemukakan bukti bahawa anak saya melakukan perbuatan yang dituduh itu,” katanya.
Menurut Rabi Elayyan, beliau telah diberi amaran oleh pihak pihak bagi memastikan anaknya tidak lagi mengulangi perbuatan yang didakwa itu.
Tambah lelaki itu, anaknya juga mengalami trauma dengan pengalaman tersebut, malah berada dalam ketakutan apabila bertemu dengan polis.
Dakwa Rabi Elayyan, pihak polis telah mengarahkannya untuk membawa anaknya bersama, semasa siasatan.
Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Israel dalam laman Twitter menafikan dakwaan bahawa Muhammad telah diminta hadir semasa siasatan polis itu.
Sementara itu, agensi berita Wafa melaporkan, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menyelar sikap berdiam diri komuniti antarabangsa berhubung isu kanak-kanak Palestin yang disoal siasat oleh polis Israel.
Dalam perkembangan berasingan, Israel meluluskan pembinaan 6,000 rumah baharu buat peneroka Yahudi dan 700 lagi rumah untuk penduduk Palestin di Tebing Barat yang dijajah rejim.– AGENSI.











