KUALA LUMPUR 2 Ogos – Bank Islam Malaysia Bhd. meraih tiga pengiktirafan untuk kategori Best Customer Experience (Direct Debit), Best Direct Debit Bank dan Best FPX Bank sempena penganjuran Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia (MEPA) 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pengiktirafan itu adalah berdasarkan sumbangan Bank Islam terhadap pertumbuhan pembayaran elektronik (e-pembayaran) di Malaysia.
Katanya, pengiktirafan Best Customer Experience (Direct Debit) buat kali kedua, susulan kemenangan pertama pada 2017, adalah bukti usaha berterusan Bank Islam untuk berada di barisan hadapan sektor perbankan digital di Malaysia.
Jelasnya, Bank Islam terus berazam meneruskan perjalanan Tranformasi Digital mengambil kira perubahan dan membawa teknologi ke dalam penyelesaian berasaskan syariah yang mana merupakan sebahagian daripada aspek penting dalam mencapai pertumbuhan mapan.
“Memberikan perkhidmatan yang seiring dengan trend digital semasa akan mempertingkatkan pengalaman perbankan pelanggan untuk melaksanakan transaksi perbankan mereka dengan selamat dan lancar.
“Ia juga merupakan satu keutamaan strategik bagi kami untuk melaksanakan usaha-usaha mewujudkan nilai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anugerah-anugerah yang diterima Bank Islam telah disampaikan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid kepada Mohd. Muazzam, 31 Julai lalu.
MEPA adalah satu acara tahunan anjuran Payments Network Malaysia (PayNet) yang memberi pengiktirafan terhadap pencapaian terbaik bank, perniagaan dan agensi-agensi kerajaan yang telah memberikan sumbangan signifikan terhadap kecemerlangan, inovasi dan pertumbuhan sektor e-pembayaran di Malaysia.
Bank Islam akan terus meneruskan usaha mempromosi dan mengukuhkan segmen epembayarannya dengan memperkenalkan lebih banyak inisiatif yang relevan.
Mohd. Muazzam berkata, langkah-langkah yang diperkenalkan ini akan menyokong usaha Malaysia dalam meletakkan ekonomi digital sebagai pemacu baharu pertumbuhan negara.
“Kami berbesar hati kerana dipilih untuk menerima penghormatanpenghormatan ini. Ia tentunya tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan usaha keras warga kerja Bank Islam, serta kepercayaan yang diberikan oleh para pelanggan kami.”
“Kami akan terus berusaha untuk menyampaikan produk-produk kewangan dan perkhidmatan patuh Shariah yang relevan dan inovatif bagi memenuhi keperluan para pelanggan kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE











