KUALA LUMPUR 4 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B mengakhiri kemarau menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari (PEKJ) selama sedekad apabila menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) A 21-16, 21-17 dalam perlawanan akhir di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.
Kejayaan dalam edisi ke-55 ini turut meletakkan regu bimbingan Aswadi Abdullah menyertai kumpulan elit pemenang terbanyak, 12 kali kejohanan tertua di dunia itu bersama-sama Selangor dan Kuala Lumpur sejak diperkenalkan pada 1962.
Kali terakhir ATM bergelar juara PEKJ ialah pada 2009 dengan menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Tunku Noor Azwari Tunku Ishak (tekong), Afifuddin Razali (perejam) dan Norfaizzul Razak (pengumpan) hanya memerlukan 55 minit untuk turut mengesahkan habuan wang tunai RM5,000 milik ATM B.
PDRM A yang nekad menukar tekongnya, Syahmi Husin dengan Hisyammudin Nazri selain apit kanan, Shukri Hassan dan apit kiri, Suhairi Sulaiman terpaksa berpuas hati selaku naib juara.
Buat kali pertamanya, saingan PEKJ tahun ini ditukar kepada format antara regu yang memecah tradisi acara berpasukan (tiga regu).
Kekalahan ini juga meleburkan hasrat PDRM yang pernah menjulang PEKJ pada 2010 dengan menewaskan Selangor 2-1 di Bukit Jalil, selain kali pertama melakukannya pada 1990.
Afifuddin dan Norfaizzul pula beroleh bonus RM200 apabila dinobatkan sebagai perejam dan pengumpan terbaik, selain sagu hati buat PDRM A apabila Syahmi dipilih tekong terbaik, sementara jurulatih mereka, Khalid Alias muncul jurulatih terbaik.
Negeri Sembilan A yang dianggotai Hisyam Mat, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Faizulhairy Osman pula meraih tempat ketiga setelah menewaskan juara bertahan, Perak B 15-21. 21-15, 22-20. – UTUSAN ONLINE
JUARA-JUARA PEKJ
SELANGOR, KUALA LUMPUR & ATM – 12 KALI
KEDAH – 5 KALI
PERAK – 5 KALI
PDRM – 2 KALI
PULAU PINANG – 2 KALI
MELAKA – 1 KALI
NEGERI SEMBILAN – 1 KALI
TM – 1 KALI
TERENGGANU – 1 KALI











