Amran Kamarudin hilang kepercayaan Cabang Padang Besar? - Utusan Malaysia

Amran Kamarudin hilang kepercayaan Cabang Padang Besar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 29 Ogos – Seramai 12 orang Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Padang Besar termasuk timbalan serta naib ketua cabang yang menang dalam pemilihan parti itu baru-baru ini, mengumumkan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap Ketua Cabang yang juga merangkap Pengerusi PKR Perlis, Amran Kamarudin.

Perkara itu dinyatakan oleh bekas Setiausaha Cabang PKR Padang Besar, Hamidon Darus yang turut menyifatkan kemelut parti berkenaan khususnya di kawasan tersebut kini semakin parah.

Kata beliau, kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran Ketua Cabang yang dikatakan sering membuat keputusan serta pelantikan tanpa mengadakan perbincangan.

“Sekarang, mesyuarat juga kami sudah tidak hadir kerana kecewa dengan Ketua Cabang.

Dahulu tiada masalah, tetapi sekarang apabila ada kuasa semuanya berubah,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Semalam, Amran menafikan bahawa wujudnya perpecahan dalaman melibatkan kepemimpinan parti itu.

Sebaliknya kata beliau, suasana di dalam PKR Perlis masih harmoni dan menjadi kebiasaan hanya segelintir pihak sahaja tidak berpuas hati.

Sebelum itu, bekas Setiausaha PKR negeri, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim mengumumkan keluar parti berkuat-kuasa serta merta selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan PKR Perlis.

Menurut Abdul Asymawi, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Malah kata bekas Naib Ketua Cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kangar itu, ramai lagi ahli akan mengikut jejak langkah beliau keluar daripada PKR selepas ini,apabila kecewa dengan sikap kepemimpinan parti itu di Perlis termasuk wakil rakyat daripada parti berkenaan.

Tambah Hamidon, beliau berharap PKR Pusat turun padang melihat kemelut yang berlaku ini.

Dalam masa sama, beliau juga difahamkan bahawa beberapa kepimpinan negeri juga sudah meletakkan jawatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×