Penggiat seni khat ketengah bakat

Penggiat seni khat ketengah bakat

MUHAMAD Zulfadli Abdul Ghani bersama hasil karyanya yang dinobatkan sebagai Johan Kategori Karya Siap (Batik) pada Festival Kaligrafi Islam Terengganu Kali Kedua Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengalaman lebih sedekad dalam seni khat membuahkan hasil buat penulis dan pereka khat, Ahmad Abdul Hadi Shamsul, 31, apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Spontan pada Festival Kaligrafi Islam Terengganu Kali Kedua Peringkat Kebangsaan 2026.

Anak kelahiran Cheras, Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 selepas menghasilkan karya ayat al-Quran menggunakan khat Thuluth dalam tempoh tiga jam dalam festival di Taman Tamadun Islam, di sini, Ahad lalu.

Ahmad Abdul Hadi berkata, penyertaan dalam pertandingan seni khat bukan perkara baharu kerana dia sudah menyertai pelbagai pertandingan sejak mula menceburi bidang tersebut kira-kira 10 tahun lalu.

“Dalam pertandingan spontan, saya perlu memberi perhatian kepada komposisi iaitu susunan huruf dan keseimbangan karya supaya hasilnya bukan sahaja cantik tetapi kemas.

“Persediaan sebelum per­tandingan juga penting kerana saya perlu memastikan kaedah penulisan serta penggunaan jenis khat yang sesuai dengan tema ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada festival tersebut.

Festival Kaligrafi Islam Te­rengganu kali kedua itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pemba­ngunan Insan negeri, Datuk Sa­tiful Bahari Mamat.

Ahmad Abdul Hadi berkata, selain khat Thuluth, dia menggunakan khat Nasakh dalam penghasilan karya dan melihat seni khat sebagai salah satu medium untuk menyebarkan syiar Islam.

Katanya, seni khat perlu te­rus dipulihara dan diperkenal kepada generasi muda supaya warisan seni Islam itu tidak ditinggalkan.

Sementara itu, Johan Kategori Karya Siap (Batik), Muhamad Zulfadli Abdul Ghani, 34, dari Bukit Payong, Marang, membawa pulang hadiah RM3,000 selepas menghasilkan karya yang mengambil masa hampir sebulan untuk disiapkan.

Penjawat awam itu berkata, minat terhadap seni khat berputik ketika berada di universiti selain mempunyai asas dalam seni lukisan sejak di bangku sekolah rendah.

“Ini kali pertama saya muncul juara dan saingan memang sengit kerana semua peserta menghasilkan karya yang sa­ngat baik. Saya mengambil masa hampir sebulan untuk menyi­apkan karya ini kerana setiap elemen perlu dibuat dengan teliti,” katanya.

Katanya, penganjuran festival berkenaan penting bagi memberi ruang kepada penggiat seni khat mengetengahkan bakat selain menarik lebih ramai generasi muda untuk me­ngenali seni tersebut.

Sementara itu, peserta dari Dengkil, Selangor, Mohd Nur Hazwan Yusof, 36, meraih tempat kedua Kategori Karya Siap (Kanvas) dan menerima hadiah wang tunai RM2,000.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×