Amirah gapai cita-cita jadi peguam - Utusan Malaysia

Amirah gapai cita-cita jadi peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP daripada kita pasti mempunyai impian dan cita-cita.

Yang membezakan hanyalah sama ada seseorang itu berusaha mengejar cita-cita atau membiarkan ia kekal sebagai satu impian buat selama-lamanya.

Bagi gadis cantik berusia 25 tahun, Nik Nur Amirah Rosli, dia mahu menggapai cita-cita menjadi seorang peguam yang berjaya dan berkaliber dalam usia muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Perundangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, dia bersyukur kerana minat dalam dunia perundangan dicetuskan oleh kedua ibu bapanya.

“Pada awalnya saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari kerana berfikir ia lebih santai dan seronok.

“Tetapi ibu bapa memberikan cadangan untuk meneruskan pengajian kepada bidang lebih profesional dan disebabkan itu saya memilih melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan,” katanya.

Mengakui jurusan tersebut bukan mudah kerana melibatkan banyak fakta, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk mendalami bidang berkenaan.

Amirah ketika graduasinya 

Malah tegasnya, cabaran itu secara tidak langsung menimbulkan minatnya dalam bidang perundangan dan memberikan keyakinan bahawa keputusan tersebut sesuai buatnya.

“Bidang undang-undang memang tidak mudah sebab banyak perlu mengingati fakta, akta dan sebagainya. Daya ingatan harus kuat selain harus rajin membaca dan fokus agar tidak ketinggalan.

“Tetapi saya suka kerana perundangan buat saya rasa sangat berkait rapat dengan kehidupan seharian, membolehkan kita berfikir mengenai rasional tindakan manusia,” ujarnya yang kini bekerja sebagai eksekutif perundangan di sebuah syarikat di ibu kota.

Selain itu tambahnya, bidang perundangan turut mendidiknya menyeimbangkan emosi antara perihal kerja dan peribadi supaya sesuatu kes yang dikendalikan dapat diselesaikan dengan jayanya.

Jelasnya, hati harus kental dan bersedia untuk memberi sepenuh perhatian serta keringat apabila mengendalikan sesuatu sehingga adakalanya terpaksa mengetepikan sebentar hal peribadi demi tugas.

Biarpun begitu, kerjaya itu sedikit sebanyak membantu perjalanannya untuk mendalami hal perundangan sekali gus menggapai impiannya untuk menjadi seorang peguam yang berkaliber.

Nik Nur Amirah tekad mahu mengumpul pengalaman sebaik mungkin melalui kerjaya itu dan melangkah lebih maju dalam bidang yang diminati itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini