KUALA LUMPUR 3 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua ahli parti di peringkat akar umbi mesti bekerja kuat dalam memperkukuhkan kedudukan bagi memastikan hasil kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pas mampu menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU-15) kelak.
Beliau berkata, UMNO juga harus menjadi pembangkang yang kuat dalam membawa suara rakyat yang menderita di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Ahli di akar umbi mesti bekerja kuat memperkukuhkan parti bagi memastikan BN dan PAS menubuhkan kerajaan selepas PRU-15 nanti.
“UMNO mesti menjadi pembangkang yang kuat bagi membawa suara rakyat yang menderita di bawah kerajaan PH,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Perak.
Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar di atas kejayaan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu. – UTUSAN ONLINE











