ADEN 1 Ogos – Satu serangan peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan pemberontak Houthi ke atas sebuah kem tentera, mengorbankan lebih 40 orang ketika satu lagi insiden pengebom bunuh diri meragut nyawa 11 orang, di sini hari ini.
Lapor al Jazeera, pemberontak Houthi mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan di kem tentera itu, menyasarkan perarakan tentera pasukan keselamatan Yemen yang disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekutu utama tentera perikatan diketuai Arab Saudi menentang Houthi.
Menurut al-Masirah TV, kumpulan tersebut melancarkan serangan peluru berpandu balistik jarak sederhana dan dron bersenjata ke arah kem tentera al-Jalaa di daerah Buraiqa.
Pemberontak menyifatkan perarakan itu diadakan sebagai persediaan tindakan ketenteraan terhadap kawasan yang ditawan oleh Houthi.
Al-Masirah TV memetik kenyataan jurucakap Houthi, Yehia Sarea sebagai berkata, serangan udara itu menyebabkan banyak mangsa terbunuh dan cedera termasuk komander tentera.
Lapor agensi berita Reuters dengan memetik sumber keselamatan dan perubatan, sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dalam serangan tersebut.
Menurut seorang pegawai perubatan kepada agensi berita AP, angka kematian kekal 40 orang.
Beberapa media melaporkan, komander Muneer al-Yafee yang merupakan tokoh terkemuka pemisah selatan atau nama samarannya Aboul Yamama, antara mangsa yang terkorban.
Beliau dilapor sedang memberi ucapan ketika serangan itu berlaku.
Sementara itu, dalam satu lagi serangan berasingan, sekurang-kurangnya 11 terkorban dalam serangan bom kereta di selatan bandar Aden.
Menurut Doctors Without Borders (MSF) menerusi laman Twitter, 29 orang yang cedera dimasukkan ke hospital susulan serangan ke atas sebuah balai polis di selatan bandar pelabuhan itu. – AGENSI











