2,000 sertai GSC Popcorn Walk 2019 - Utusan Malaysia

2,000 sertai GSC Popcorn Walk 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seramai 2,000 peserta menyertai acara berjalan secara santai yang dianjurkan oleh syarikat pawagam terkemuka, Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. menerusi acara Popcorn Walk (GSC Popcorn Walk) 2019 di pusat beli-belah IOI City Mall di sini hari ini.

Acara yang bermula pada pukul 7 pagi itu disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan yang sudah berkeluarga dan memberi peluang kepada mereka terlibat dalam aktiviti bersenam berjalan sejauh lima kilometer di sekitar pusat beli-belah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee menyifatkan penganjuran GSC Popcorn Walk 2019 berjaya selepas jumlah penyertaan peserta sebanyak 2,000 orang melebihi sasaran awal iaitu 1,500.

Jelasnya, ia merupakan satu penanda aras bahawa acara kali ketiga yang dianjurkan oleh syarikat tersebut mendapat permintaan menggalakkan daripada masyarakat khususnya peminat yang menonton filem di panggung wayang.

“Meskipun cuaca hujan sebelum acara pelepasan, peserta masih tetap setia menunggu malah kebanyakan daripada mereka berjaya menghabiskan perjalanan ke garisan penamat.

“Selepas acara jalan kaki, peserta berpeluang menonton filem The Angry Birds Movie 2 lebih awal berbanding tarikh tayangannya iaitu pada 29 Ogos ini. Ia merupakan satu penghargaan kepada peserta yang menyertai GSC Popcorn Walk pada tahun ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.

GSC Popcorn
Mei Lee (kiri, baju merah jambu) melepaskan para peserta yang menyertai GSC Popcorn Walk 2019 di garisan permulaan di pusat beli-belah Ioi City Mall di sini hari ini

Jelas Mei Lee, menerusi acara itu, ia merupakan satu kaedah terbaik untuk GSC menjadikan aktiviti riadah dan menonton wayang seisi keluarga sebagai satu perkara yang bermanfaat ketika cuti hujung minggu.

Tambahnya, selepas kejayaan GSC Popcorn Walk 2019, GSC bercadang untuk menganjurkan acara tersebut pada skala lebih besar pada tahun depan dengan penambahan acara larian sejauh 10 kilometer untuk peserta yang berminat.

Uniknya mengenai GSC Popcorn Walk 2019, peserta yang terlibat akan berhenti di dua stesen untuk mengambil bertih jagung dan air sebelum meneruskan perjalanan sejauh lima kilometer. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN