KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan menjangkakan klasifikasi kawasan zon merah di Kuala Koh, Gua Musang akan ditamatkan pada minggu depan sekiranya keadaan di kampung itu terkawal dan selamat.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, namun pihaknya masih lagi membuat pemantauan pada setiap masa sehingga penduduk Orang Asli suku kaum Bateq di kawasan tersebut benar-benar pulih .
Beliau berkata, buat masa sekarang pihaknya mendapati hanya satu dua kes sahaja yang dibawa ke hospital dalam tempoh minggu ini.
“Jika lihat keadaannya semakin pulih dan kita tidak menolak kemungkinan zon merah ini akan diberhentikan.
“Semua penduduk di sekitar Kampung Kuala Koh akan diberi suntikan vaksin bagi mengelak penularan wabak measles atau demam campak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Sri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalan Pengarah Kesihatan (Farmasi) Kelantan, Shaik Nurudin Shaik Shahrudin.
Menurut Zaini, pihaknya turut membuat suntikan vaksin kepada penduduk Orang Asli suku kaum Bateq di Terengganu dan Pahang bagi memastikan penularan wabak itu dapat dikekang.
“Kita tidak boleh membuat andaian penyakit tersebut berpunca daripada mana dan lebih penting terus mengawal daripada terus merebak,” katanya. – UTUSAN ONLINE











