Zchain4u mudahkan urus niaga - Utusan Malaysia

Zchain4u mudahkan urus niaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perniagaan secara digital semakin berkembang pesat serta menjadi pilihan utama penduduk dunia. Malah, menjadi agenda utama kerajaan memperkasakan transaksi digital bagi melahirkan golongan masyarakat serta persekitaran perniagaan tanpa tunai.

Namun, dalam masa sama, peniaga perlu menyedari risiko keselamatan teknologi aplikasi yang digunakan bagi menjamin keselamatan pengguna dan pengusaha perniagaan.

Oleh itu Timbalan Dekan Pembangunan, Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain bersama lima pelajar pascasiswazah berjaya membangunkan sebuah inovasi aplikasi pembayaran tanpa tunai yang bukan sahaja memudahkan urusan seharian, malah lebih selamat berbanding aplikasi yang banyak digunakan oleh peniaga pada masa ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zuriati yang juga ketua projek bagi pembangunan aplikasi pembayaran tanpa tunai, ZChain4U berkata, aplikasi yang dibina itu merupakan sistem pembayaran tanpa tunai secara digital menggunakan teknologi rantaian blok (blockchain).

Kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) sistem tersebut mengambil masa selama enam bulan bermula Januari lalu.

Idea kajian bermula apabila isu keselamatan wang pada 2017 iaitu Ransomware yang menjadi buah mulut pada ketika itu.

Dalam masa sama, Zuriati mendapati teknologi rantaian blok lebih selamat kerana menggunakan wang digital.

Tambahan pula teknologi tersebut tidak berasaskan penghantaran wang semata-mata, malah melibatkan kontrak pintar yang memerlukan konsensus dalam kalangan pihak urus niaga dalam rangkaian peer-to-peer yang membolehkan transaksi berlaku secara blok berantai.

Katanya, ZChain4U merupakan e-dompet unik bagi memudahkan transaksi pembayaran secara digital yang ketika ini banyak memberi manfaat dalam menyediakan penghantaran cryptocurrency.

“Zchain4U dilengkapi infrastruktur utama awam dari segi pengesahan dan integriti data selain mengambil kira aspek keselamatan sebagai faktor utama dalam e-dompet.

“Transaksi cryptocurrency melibatkan rangkaian peer-to-peer dan teknik konsensus yang tidak berpusat iaitu tidak melibatkan pihak ketiga. Ini bermakna teknologi rantaian blok lebih telus,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Zuriati, Zchain4U e-dompet sangat signifikan dengan menggunakan algoritma pengesahan dan Prasarana Kekunci Awam (PKI) untuk meningkatkan integriti penghantaran transaksi serta meningkatkan pengesahan pengguna.

“Aplikasi ini bukan sahaja memudahkan urusan jual beli, malah lebih selamat. Pada masa sama, teknologi ini juga dapat mengelakkan daripada penyalahgunaan akaun atau penipuan selagi pengguna tidak mendedahkan kata laluan dan kata keselamatan kepada pihak lain.

Bukan itu sahaja, segala informasi pengguna tidak akan terdedah kepada umum,” jelasnya.

Beliau memberitahu, prototaip aplikasi telah siap dibangunkan sepenuhnya dan memiliki hak cipta terpelihara di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta boleh diguna pakai sepenuhnya.

Mekanisme teknologi tersebut hanya memerlukan pengguna memuat turun aplikasi sistem Zchain4U ke dalam telefon pintar atau tablet.

Kemudian pengguna perlu membaca kod QR yang tersedia di kedai selepas pengesahan barangan dan harga. Peniaga akan disediakan mesin Zchain4U bagi memudahkan pengguna mengimbas kod.

“Saya menyasarkan sebanyak 200 peniaga dan pengguna menikmati kelebihan teknologi itu pada tahun pertama ini dan berharap lebih banyak kedai, restoran, kedai makanan segera mahupun perkhidmatan di lapangan terbang dapat menggunakan inovasi ini untuk membangunkan perniagaan mereka,” jelasnya.

Pada masa akan datang, beliau bersama ahli kumpulannya bercadang menambah baik fungsi aplikasi dengan memuatkan teknologi pengimbas cap ibu jari.

“Harapan saya agar teknologi ini berjaya di samping dapat memudahkan pengguna melalui teknologi pembayaran yang terbaharu. Dalam masa sama, saya juga berharap agar teknologi ini akan terus dikaji bagi meningkat proses keselamatan dan teknik penggunaannya ke arah lebih efisien serta selamat,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini