FUJI – Litar Fuji sekali lagi memberi kenangan manis buat pemandu berbakat negara, Weiron Tan apabila meraih kemenangan sulungnya dalam saingan Cabaran Blancpain GT Dunia Siri Asia, hari ini.
Weiron dan rakan sepasukan Audi Sport Asia Team Absolute Racing, Martin Rump mempamerkan pemanduan cemerlang pada perlumbaan hari ini selepas muncul naib juara keseluruhan dan kedua dalam kelas GT3S, semalam.
Pada perlumbaan pertama semalam, gandingan berkenaan memulakan saingan dari petak ketujuh dan menamatkan 34 pusingan dengan catatan 1 jam 05.855 saat.
Momentum positif bersama jentera Audi R8 LMS GT3 itu kemudian dibawa kepada perlumbaan hari ini sebelum mereka menamatkan saingan dengan penuh dramatik apabila menjadikan penalti 10 saat kepada penamat di podium pada perlumbaan pertama sebagai bukan alasan utama untuk muncul pemenang di perlumbaan kedua.
Bermula dari petak kelima, mereka melengkapkan 33 pusingan dengan catatan 1:00:51.880s. Weiron ketika ini berada di tangga kelima keseluruhan dengan 80 mata dan mengharapkan dapat meneruskan rentak cemerlang ini di pusingan seterusnya di Korea Selatan.
“Pada beberapa pusingan terakhir adalah sesuatu yang menarik. Hari yang menarik! Kemenangan ini adalah untuk pasukan! Semua yang berada di Absolute Racing dan Audi Sport Asia sudah berusaha keras untuk saat ini dan kami akhirnya dapat melakukannya.
“Meraih kemenangan pertama kami untuk musim ini yang juga tambahan kepada keputusan naib juara selepas bermula daripada petak ketujuh semalam, tentunya sesuatu yang sangat istimewa.
“Terima kasih kepada pasukan atas sokongan mereka dan juga terima kasih kepada penaja saya, keluarga dan rakan yang sentiasa memberi sokongan!. Kemenangan ini juga untuk mereka!. rakan sepasukan saya juga memandu dengan begitu baik di sepanjang minggu ini.
“Saya harap kami dapat membawa momentum ini ke pusingan seterusnya di Korea. Tentunya saya menantikan perlumbaan itu!,” lata Weirom.
Litar Fuji Speedway sebelum ini menyajikan memori indah buat Weiron apabila dia bersama rakan sepasukan Nabil Jeffri dan Jazeman Jaafar muncul selaku barisan penuh pemandu Malaysia yang memenangi perlumbaan di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), tahun lalu.
Ketika itu, trio berkenaan menyertai kelas LMP2 WEC. Pusingan seterusnya untuk Cabaran Blancpain GT Dunia Siri Asia dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Kkorea di Korea Selatan pada 4 hingga 5 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE











