KANGAR 8 Julai – Hidup dalam keadaan meloyakan dan tidak lalu makan.
Itu kisah terpaksa dihadapi oleh kira-kira 3,000 orang penduduk daripada 10 buah kampung di sekitar Kuala Perlis pada setiap hari berikutan bau busuk yang dipercayai berpunca daripada kilang pembuatan dedak di kawasan perindustrian di sini yang berlarutan lebih tiga tahun lalu.
Kewujudan kilang terbabit menyebabkan kehidupan penduduk terjejas berikutan terpaksa menghidu bau busuk itu.
Kampung Padang Besar Selatan di sini adalah yang paling teruk terkesan kerana jarak penempatan itu hanya kira-kira dua kilometer sahaja dari kilang.
Seorang penduduk, Mohd. Noor Hashim, 56, berkata, dia sudah tidak tahan dengan situasi tersebut yang sudsh berlarutan sejak sekian lamanya tanpa ada jalan penyelesaian.
Katanya, keadaan bertambah teruk khususnya ketika angin barat laut bertiup membawa aroma ikan busuk dari kilang tersebut ke kampung mereka iaitu kebiasaannya antara pukul 5 petang sehingga pukul 7 malam.
Peniaga dari Kampung Padang Besar Selatan itu memberitahu, dia telah membuat aduan lebih 20 kali kepada pihak bertanggungjawab namun masalah bau busuk itu masih berlaku.
“Kami menanggung penderitaan ini sudah lebih tiga tahun. Apabila kita buat aduan, kilang itu akan berhenti beroperasi dan selepas seminggu mereka kembali lagi beroperasi.
“Saya tidak kisah mereka (kilang) hendak beroperasi, tetapi kalau boleh, carilah jalan supaya masalah bau busuk itu dapat diatasi,” katanya.
Peniaga kedai makan dan pemilik inap desa, Abdul Hamid Ahmad, 49, berkata, perniagaannya merosot teruk selepas pelanggan mengadu tidak tahan dengan bau busuk ketika menjamu selera di kedainya.
“Setiap kali pelanggan bertanya, adakah bau busuk itu datang dari kedai. Setiap kali itu juga saya perlu memberi penjelasan,” katanya.











