KUALA LUMPUR 8 Julai – Usahawan belia di negara ini disifatkan masih belum bersedia untuk mengadaptasi Revolusi Industri (IR) 4.0 sebagai anjakan teknologi dalam perniagaan.
Peralihan kepada penggunaan teknologi tersebut adalah penting bagi membantu mencapai sasaran usahawan belia menyumbang kepada 50 peratus ekonomi negara menjelang 2030.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, usahawan belia perlu menyertai latihan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi berkaitan perniagaan mereka.
“Berani saya katakan mereka belum bersedia dan kurang keberanian tetapi bukanlah kerana tidak mahu beralih kepada penggunaan teknologi IR4.0.
“Pengadaptasian terhadap teknologi terkini dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) masih perlahan menyebabkan mereka berasa tidak yakin dengan tahap keselamatan perniagaan khususnya berkaitan ‘payment gateway’,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar.
Video oleh Mohamad Athir Ismail
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang ‘Cabaran Bisnes 90 Hari’ anjuran SME Bank hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Redzuan memberitahu, kerajaan sentiasa menambah baik kemudahan asas untuk menyokong IR4.0 untuk memberi peluang kepada usahawan muda menceburi perniagaan berorientasikan teknologi tersebut.
“Satu pembentangan kertas oleh sebuah agensi kepada kementerian sudah dilakukan untuk mengenalpasti apakah kekurangan kita dalam meyakinkan usahawan tempatan bagi membangunkan aktiviti perniagaan menggunakan data.
“Kalau kita bandingkan dengan negara lain seperti Vietnam yang lebih kehadapan berbanding kita walaupun pembangunan infrastruktur lebih perlahan tetapi kepantasan mereka merebut peluang menyebabkan negara luar datang melabur,” katanya. – UTUSAN ONLINE











