[VIDEO] Tiada istilah penat, sakit - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tiada istilah penat, sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK mengenal erti sakit dan penat, wanita besi ini sentiasa bersemangat menyampaikan ilmu usahawan kepada anak didiknya yang menjadikan perniagaan sebagai sumber rezeki.

Berbekalkan tulang empat kerat, Datuk Faridah Hanim Haron atau lebih mesra dengan panggilan Ibu Hanim menjadi perhatian syarikat-syarikat besar dan sederhana untuk mendapatkan ilmu bagi membantu syarikat bertahan lama di peringkat ‘grow.’

Ibarat seorang doktor, Ibu Hanim berkongsi ilmu perniagaan dan pembangunan organisasi melalui Annems Leadership Solution Sdn. Bhd. bagi memastikan syarikat yang bermasalah menyusun semula organisasi dan kembali bergerak mengikut rentak perniagaan dengan hala tuju yang telah ditetapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun sedar tahap kesihatan semakin merosot, namun perjuangannya yang kuat mahu melihat anak muda menjadi generasi peradaban emas Islam yang bijak, kaya dan bersatu menjadi kekuatannya untuk terus berada di medan perjuangan dalam menyebarkan ilmu dan pengalaman.

“Walaupun ada masanya saya perlu dipimpin ketika berjalan dan perlu duduk ketika menyampaikan ilmu, namun semangat saya kuat untuk melihat anak muda berjaya dalam perniagaan mereka.

“Saya mahu mereka terus berusaha dan berjuang agar perniagaan mereka terus bertahan lama. Saya melihat mereka bangkit, melawan apa jua masalah dengan melihat kelemahan dan menyusun semula perniagaan mereka melalui modul yang ditawarkan.

FARIDAH HANIM HARON semasa melancarkan buku berjudul Melakar Visi Menjadi Realiti.
FARIDAH HANIM HARON semasa melancarkan buku berjudul Melakar Visi Menjadi Realiti.

“Alhamdulillah mereka yang terlibat dalam program ini kembali mendapat sinar untuk terus berada dalam bidang perniagaan pilihan,” katanya.

Antara perniagaan yang mendapatkan khidmatnya adalah Lily Petuna, Telekung Siti Khadijah, De’Xandra, Little Calips, MyDental Care. Kini ada sebanyak 150 buah syarikat di bawah jagaannya.

“Syarikat-syarikat tersebut menjadi antara nama besar dalam industri selain membangun sebagai sebuah syarikat tempatan yang berjaya,” ujarnya.

Bersandarkan pengalaman selama 20 tahun, Ibu Hanim gembira berkongsi ilmu sekali gus membentuk komuniti perniagaan yang berjaya dan boleh diwarisi anak cucu.

Kini sudah lima kumpulan berjaya menimba ilmu dan memanfaatkan ilmu itu dalam organisasi mereka.

“Setiap kumpulan terdiri daripada 30 syarikat dan mereka akan menimba ilmu selama sembilan bulan iaitu enam bulan kelas dan tiga bulan seterusnya menyiapkan tugasan mengikut modul-modul yang disediakan.

“Sakit dan penat saya boleh lawan. Hati saya menjadi tenang apabila peserta memberi perkhabaran baik mengenai perkembangan positif organisasi mereka selepas tamat program.

“Apa yang saya harapkan, Allah tidak menarik suara saya kerana saya masih ingin membantu mereka yang memerlukan,” kata beliau dalam nada sendu.

Mengakui kerap sakit, itu tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang.

“Suami pernah berkata, Intan (panggilan manja) tidak pernah menunjukkan rasa sakit.

“Benar kata suami. Saya tidak tunjukkan diri saya sedang sakit, saya tidak mahu orang berasa kasihan, sebaliknya mahu berkongsi ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin kerana Islam juga menggalakkan seseorang menyampaikan ilmu yang baik agar dapat dimanfaatkan bersama,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, Ibu Hanim mendedahkan beliau pernah menjalani pembedahan membuang rahim selepas doktor mengesyaki terdapat tumor yang besar.

Kini beliau bergantung kepada besi khas bagi menggantikan fungsi tulang belakang, leher dan lutut.

Mahu Melayu kuasai ekonomi


“IBU takut melihat anak bangsa seakan ‘lemas’ di dunia ini apabila ekonomi dikuasai bangsa lain.

“Ibu tidak mahu melihat anak bangsa jatuh lebih-lebih lagi di negara ini. Kerana itu ibu tidak pernah berhenti membantu usahawan untuk terus berjaya sekali gus menjadi syarikat yang berdaya saing dan mampu bersaing secara sihat,” tegasnya.

Walaupun semakin hari semakin ramai kita melihat penglibatan anak muda dalam bidang perniagaan dengan nama besar yang menjadi sebutan, namun dalam masa sama kita turut melihat mereka tersungkur selepas bertahan antara lima hingga tujuh tahun.

Jika diselak kembali, kita pasti tertanya-tanya bagaimana perniagaan yang sudah ada nama dan jumlah pengikut yang besar tidak mampu bertahan, sedangkan perniagaan bangsa asing yang kecil mampu kekal dan diwarisi ahli keluarga.

Jelas bahawa untuk menjadi usahawan bukan hanya sekadar memerlukan modal, lokasi atau pekerja, sebaliknya terus belajar dengan mencedok ilmu daripada mereka yang berpengalaman luas.

Dalam masa sama, Ibu Hanim turut menjadi sumber inspirasi kepada anak didiknya kerana gagah memperjuangkan niat untuk melihat generasi baharu melakar kejayaan yang diimpikan.

“Walaupun selepas tamat program selama sembilan bulan, ilmu yang disampaikan tidak berhenti di situ. Sebaliknya, saya akan memastikan mereka mengaplikasikan setiap ilmu tersebut dalam organisasi mereka.

“Saya sendiri akan memantau perkembangan mereka dan melihat sejauh mana impak positif yang diserap dalam organisasi.

“Ibu akan menangis kegembiraan apabila mengetahui jualan anak didik meningkat, organisasi tidak lagi huru-hara dan mereka lebih fokus untuk memajukan perniagaan yang dibina,” ujarnya.

Tambahnya lagi, anak didiknya bebas menghubungi melalui aplikasi WhatsApp atau panggilan telefon bagi bertanyakan pendapat atau pandangan

“Sekiranya saya tiada kudrat untuk membalas secara teks, saya akan membalas melalui pesanan suara,” katanya.

Buku sebagai wakil

Sepanjang sesi temuramah ini, Ibu Hanim kerap mengatakan ketakutannya jika tidak mampu meneruskan perjuangan sehingga menyebabkan wartawan dan juru foto terdiam seribu bahasa. Wanita cekal ini akan mengambil masa yang agak panjang untuk meneruskan semula sesi wawancara ini.

Sekali lagi dalam nada sedih dan menitiskan air mata, Ibu Hanim menyatakan bahawa hasratnya menulis dan menerbitkan sebuah buku berjudul Melakar Visi Menjadi Realiti sebagai ‘wakil’ kepada orang ramai yang berminat untuk menimba ilmu perniagaan.

Katanya, seminar dan ceramah yang dianjurkannya dibuka kepada syarikat-syarikat yang berpotensi di tahap ‘grow’ dan tidak menerima penyertaan secara terbuka.

“Saya mula menulis buku ini sejak awal tahun ini dan mengambil masa empat bulan untuk disiapkan. Saya berharap buku ini menjadi wadah berguna kepada anak bangsa bagi meneruskan perjuangan dalam bidang perniagaan.

“Buku ini memuatkan formula-formula dalam pengurusan sesebuah perniagaan yang boleh diaplikasikan oleh usahawan untuk berjaya.

“Jika satu hari nanti saya tiada lagi di dunia ini, saya berharap ilmu yang dikongsi melalui penulisan ini akan memberi manfaat kepada orang ramai. 
Buku ini akan berada di pasaran tidak lama lagi,” katanya.

Tambahnya, terdapat empat buah buku akan diterbitkan secara bersiri berkaitan modul asas perniagaan dan cara menempa kejayaan dalam bidang perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini