[VIDEO] ASEAN Mall gabungkan elemen wakaf dan komersial - Utusan Malaysia

[VIDEO] ASEAN Mall gabungkan elemen wakaf dan komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI, THAILAND 6 Julai – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh hari ini merasmikan prapelancaran kompleks beli belah, ASEAN MALL di Pattani Jaya di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail dan Presiden Kumpulan Uniti Asia, Datuk Jamal Mohd. Amin.

Yang turut sama bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Wan Muhammad Nur Matha; Rektor Universiti Fatoni, Profesor Dr. Ismail Lutfi; Pengerusi Koperasi Ibnu Affan, Profesor Madya Dr. Worawit Baru.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada program itu Fuziah turut menyaksikan lima majlis tandatangan perjanjian persefahaman (MoU) secara berasingan di antara Kumpulan Uniti Asia serta lima pihak dari Malaysia dengan Universiti Fatoni yang melibatkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan perniagaan.

ASEAN Mall dibina dengan kerjasama di antara Kumpulan Uniti Asia, Universiti Fatoni dan tokoh perniagaan Thailand, Mokhtar Laeman yang melibatkan nilai keseluruhan kos kira-kira RM54 juta.

Pembinaan itu juga melibatkan gabungan elemen wakaf dan komersial.

Universiti Fatoni menyediakan tapak secara wakaf manakala pelaburan untuk pembinaan disediakan oleh Uniti Asia dan Mokhtar di kawasan pembangunan bandar baharu Pattani Jaya itu.

Selepas 30 tahun bangunan itu akan dikembalikan semula sebagai wakaf dan 10 peratus daripada keuntungan bersih akan disumbangkan kepada fakir miskin serta golongan memerlukan di wilayah tersebut.

Kompleks beli belah itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada Oktober ini.

Sementara itu, Fauziah berkata, wilayah selatan Thailand ini mempunyai potensi yang amat besar untuk dijadikan sebagai hub produk ASEAN.

“Melihat kepada potensi yang ada di kawasan Pattani dan populasi umat Islam yang ramai ASEAN Mall akan menjadi pusat sehenti kepada semua produk dari negara Asia Tenggara.

“Umat Islam di Pattani boleh jauh ke hadapan dan saya bersyukur kerana Malaysia dapat membantu sedikit sebanyak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini