MADINAH 5 Julai – Hampir 1,000 jemaah Malaysia mula tiba tanah suci Madinah untuk menunaikan rukun Islam kelima tersebut selepas dua penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) tiba di sini, semalam.
Sebanyak 483 jemaah dan petugas yang menyertai penerbangan pertama KT01 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz kira-kira 11.50 pagi waktu tempatan, selepas berlepas pada pukul 8.30 pagi dari KLIA.
Penerbangan kedua KT02 pula tiba pada pukul 5.47 petang yang juga disertai oleh 483 jemaah, manakala 483 jemaah lagi dari KT03 dijangka tiba pagi ini.

Dalam penerbangan pertama, seramai 14 wartawan dan jurugambar dari pelbagai media, termasuk Utusan Malaysia turut berpeluang bersama-sama jemaah menaiki penerbangan MH8100 yang menggunakan pesawat Airbus A380.
Ketibaan mereka di Hotel Al Haram yang terletak kira-kira 100 meter dari perkarangan Masjid An-Nabawi disambut oleh Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Tabung Haji, Nurrinanuwar Shamsuddin dan para petugas diiringi acara kebudayaan tempatan.
Selain Hotel Al-Haram, Tabung Haji turut menyediakan empat lagi hotel penempatan seperti Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Hotel Saja Al-Madinah, Hotel As Saha dan Hotel Rawda Al-Aqiq di sekitar 100-300 meter dari Masjid An-Nabawi.

Nurrinanuwar berkata, kerajaan Malaysia amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana meneruskan inisiatif pra-pelepasan yang turut dikenali sebagai inisiatif Mecca Route bagi kesemua jemaah haji Malaysia.
Pelaksanaan program yang pertama kali diperkenalkan tahun lepas itu terbukti mampu mengurangkan masa jemaah berada di lapangan terbang di Arab Saudi. – UTUSAN ONLINE











