SPIELBERG, Austria – Penantian lebih sedekad Honda untuk menamatkan kemarau kemenangan mereka dalam saingan Formula Satu (F1) akhirnya tercapai selepas pelumba Red Bull, Max Verstappen tampil cemerlang dengan memenangi Grand Prix Austria malam kelmarin.
Kemenangan itu adalah yang pertama buat pengeluar enjin berkenaan sejak pelumba Britain, Jenson Button muncul juara di GP Hungary pada tahun 2006. Lebih menarik ia adalah kemenangan kedua buat pelumba Belanda tersebut di Litar Red Bull Ring selepas melakar kejuaraan tahun lalu.
Kemenangan tersebut bagaimanapun tidak disenangi oleh Charles Leclerc selepas mengakui tindakan agresif Verstappen yang hampir melanggarnya pada dua pusingan terakhir sangat berbahaya, namun Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menyifatkan tiada kesalahan yang berlaku dalam insiden tersebut.
Pelumba berusia 23 tahun itu mengekalkan kemenangan tersebut dan Leclerc yang menguasai sepanjang perlumbaan terpaksa akur di kedudukan kedua selepas dipintas oleh Verstappen, manakala pelumba Mercedes, Valtteri Bottas di kedudukan ketiga. Lewis Hamilton (Mercedes) yang memenangi empat perlumbaan sebelum ini terperosok di kedudukan kelima selepas mengalami masalah pada jentera dan Sebastian Vettel dari Ferrari di tempat keempat.
“Saya akui ia perlumbaan yang sukar tetapi kami perlu tampil cemerlang ketika beraksi di laman sendiri,” kata Verstappen.
Mengenai apa yang berlaku pada pusingan terakhir ia adalah satu perlumbaan, dia berkata, jika tindakan yang dilakukannya tidak dibenarkan, apa gunanya Honda bertanding dalam F1.
“Kamu boleh lihat ketika di laluan lurus saya mempunyai potensi yang baik untuk memintasnya dan saya tidak boleh menunggu lebih lama di belakang. Saya lihat ada peluang, jadi saya melakukannya.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan keputusan ini termasuk Honda. Memenangi di sini adalah sesuatu yang sukar untuk dipercayai,” kata Verstappen
Hasil keputusan tersebut, juara dunia lima kali, Hamilton kekal mendahului carta kedudukan pelumba dengan kelebihan 31 mata di depan Bottas. – Agensi











