1.Hari ini kerajaan mengusulkan di Parlimen undang-undang baharu yang akan mewajibkan setiap ahli Parlimen mengisytiharkan aset dan harta mereka.
2.Dewan gegak gempita dengan hujah pro dan kontra dari ahli-ahli Parlimen dalam membahaskan sebuah usul yang pada hemat kami dibuat atas fokus yang salah, tidak menyeluruh dan tidak akan memberi apa-apa kesan kepada pelaku rasuah.
3.Fokus kerajaan baharu ini seharusnya ke arah memburu, menangkap dan menghukum mereka yang rasuah, salah guna kuasa dan telah memperkaya diri mereka dan keluarga mereka semasa berkuasa dahulu dan sekarang.
4.Tidak ada penjenayah yang akan mempamerkan harta curian mereka. Makanya tugas pihak berkuasalah memburu mereka dengan mempelbagai usaha dan taktik ,cara dan undang-undang baharu kerana kita juga tahu penjenayah-penjenayah dalam kalangan pemimpin ini pandai-pandai belaka dalam menyelamatkan diri dari tindakan undang-undang.
5.Justeru, fokus kerajaan seharusnya ialah mencari jalan ke arah itu, bukan hanya sekadar membentang satu usul seperti ini yang tidak memberi apa-apa kuasa tambahan, proaktif dan kreatif serta mempunyai ciri praktikal kepada mana-mana cabang pemerintah menangkap mereka yang rasuah dan memiliki harta haram hasil rasuah dan pecah amanah semasa berkuasa.
6.Adalah lebih berkesan sekiranya rang undang-undang (RUU) digubal memberi kuasa kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menangkap sesiapa sahaja yang didapati telah memiliki harta, membelanjakan harta melebihi pendapatan mereka.Tidak sukar sebenarnya untuk menyiasat mereka yang telah menimbun harta haram kerana mereka secara terangan memiliki rumah-rumah dan mahligai dalam dan luar negara. Mereka juga suka dan sering mempamerkan harta haram mereka dengan membelanjakan harta haram membeli kereta mewah, membiayai kenduri anak menantu dengan gaya mewah.

7.LHDN mempunyai asas dengan sedikit pengubahsuaian terhadap kuasa sedia ada pada mereka yang membolehkan siasatan dan dakwaan dibuat terhadap sesiapa sahaja yang disyaki telah mengumpul harta secara haram ini tanpa perlu mereka isytiharkan harta dengan betul atau tidak.
7.Dengan kuasa tambahan yang diberikan Parlimen LHDN boleh memulakan siasatan tanpa juga perlu laporan terhadap penjenayah-penjenayah itu. Dalam erti kata lain kita memberi kuasa kepada LHDN bertindak proaktif. Ini juga merubah orientasi mereka untuk fokus mencari setiap mereka yang telah mengumpul harta secara haram dengan kadar segera.
8.Langkah ini juga memberi ruang dan kuasa kepada LHDN untuk memain peranan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha mereka menangkap penjenayah rasuah kerana Akta SPRM hanya fokus kepada pemberian dan penerimaan rasuah yang sukar dibuktikan di mahkamah, proses pembuktian yang rumit dan menyebabkan ramai perasuah lepas bebas.
9.Usul baharu deklarasi harta dan aset ini juga tidak menyeluruh kerana hanya membabitkan 222 ahli parlimen. Bagaimana dengan perasuah-perasuah lain yang menduduki jawatan strategik di syarikat milik kerajaan (GLC), badan berkanun dan lain-lain? Kita semua tahu mereka juga terdedah kepada amalan rasuah. Ramai dalam kalangan mereka memiliki harta haram di dalam dan luar negara melebihi pendapatan. Banyak projek dan perolehan dalam GLC sendiri berlaku kecurangan mencecah berbilion ringgit. Dan kemana perginya duit ini kalau tidak kepada Pengerusi-Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) GLC yang keparat ini.
10.Kami seru kerajaan baharu ini meletakkan fokus yang betul yakni berusaha bersungguh-sungguh, kreatif dan proaktif mencari jalan menangkap penjenayah rasuah ini bukan sekadar usul yang bunyinya sahaja gah dan menggemparkan tetapi nanti setelah bertahun dilaksanakan penjenayah rasuah ini masih terus lepas bebas.
11.Lihatlah sekarang apa yang berlaku. Berpuluh tangkapan, siasatan dan dakwaan dilakukan tetapi setelah lebih setahun tidak ada seorang pun lagi perasuah-perasuah ini masuk ke dalam penjara.
12.Di negara-negara lain perasuah tegar sebegini walaupun dalam kalangan pemimpin, bekas Perdana Menteri dan Presiden sudah lama disumbat ke dalam penjara. Di Malaysia masih boleh jadi Boss dan Presiden! Seluruh dunia melihat dan mentertawakan kita.
13.Sekali lagi kami tegaskan. Letakkan fokus yang betul. Janganlah membuang masa dengan langkah-langkah yang tidak memberi kesan terhadap penjenayah. Tanggungjawab kerajaan tangkap setiap penjenayah dan pulangkan setiap sen harta negara yang dicuri. Buatlah kerja betul-betul. Jangan main-main dan leka dengan kuasa. Rakyat sudah mula menyampah dan keliru. Mana satu penyamun, mana satu bukan. Atau dua-dua sama sahaja.
Mohamad Ezam Mohd Nor adalah Pengerusi Perjuangan Negara Antirasuah (Perjuangan Negara)
Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan Malaysia











