NAPOLI – Carlo Ancelotti menjangkakan perbincangan bersama Real Madrid untuk mendapatkan James Rodriguez ke Napoli akan memakan masa yang sangat panjang.
Ancelotti yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan pemain berusia 28 tahun itu di Madrid dan Bayern Munich berhasrat untuk mendapatkan bintang Colombia itu.
Tetapi presiden Partenopei, Aurelio De Laurentiis memberitahu Madrid bahawa mereka perlu mengurangkan permintaan untuk Rodriguez yang ketika ini menjadi lebihan di Santiago Bernebue.
De Laurentiis yakin perjanjian itu akan dimeterai dan pada masa sama, Ancelotti sudah berhubung dengan pemain itu.
“James boleh bermain di pelbagai posisi di belakang penyerang.
“Dia adalah pemain No.10, biasa bermain di belakang penyerang atau sebagai pemain sayap dan memiliki kelebihan untuk memintas dari tepi.
“Saya menghantar ucapan selamat hari lahir kepadanya minggu ini. Perbincangan sedang berjalan, ia akan memakan masa panjang tetapi kami tidak begitu terdesak.
“Jika tidak berjaya, kami masih lagi pasukan yang kuat dan mungkin mencari pemain lain,” kata Ancelotti.
Napoli juga dikaitkan dengan usaha mendapatkan Mauro Icardi yang dibenarkan untuk meninggalkan Inter Milan tetapi Ancelotti memberi bayangan dia sudah memiliki pemain yang cukup di bahagian serangan termasuk Lorenzo Insigne dan Dries Mertens.-AGENSI











