KUALA LUMPUR 6 Julai – Universiti Malaya (UM) sentiasa komited dalam usaha pembangunan masa hadapan universiti di samping membantu mendepani cabaran kewangan dan sumber dengan menubuhkan tabung Endowment UM (UMEF).
Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Datuk Dr. Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, tabung UMEF tersebut bertujuan menyediakan platform dan ruang yang lebih luas dan dinamik untuk para alumni menyumbang kembali kepada alma mater.
Katanya, dana itu juga akan dimanfaatkan bagi memperkukuhkan aktiviti penerbitan universiti serta mendepani perkara luar jangka.
“Sumbangan dana yang bakal diterima daripada alumni dan pelbagai pihak lain ini akan dimanfaatkan bagi membantu UM memperkasakan usaha-usaha kebajikan pelajar khususnya mereka daripada kalangan berpendapatan rendah (B40) dan golongan mahasiswa miskin tegar (BL40), penyelidikan dan inovasi serta menaiktaraf prasarana pengajaran dan pembelajaran.
“Pihak universiti memandang serius masalah ketidakcukupan dana berkenaan yang semakin meruncing pada masa ini dan sekiranya perkara itu berterusan serta tidak ditangani dengan baik, ianya boleh mengakibatkan penurunan prestasi universiti pada masa akan datang,” katanya ketika berucap dalam majlis Pelancaran UMEF di sini hari ini.
Terdahulu majlis pelancaran UMEF disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Mohd. Cairul Iqbal Mohd. Amin mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Yang turut hadir Penaung Persatuan Alumni UM (PAUM), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAUM, Datuk Noordin Abd. Razak; Naib Canselor UM, Datuk Insinyur Abdul Rahim Hashim; dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur UMEF, Datuk Ahmad Nazri Abdullah. – UTUSAN ONLINE











