KUANTAN – Seramai 132 daripada lebih 300 pembeli rumah di Taman Cherating Jaya dekat sini menuntut wang mereka dikembalikan selepas pihak pemaju, Koperasi Perumahan Malaysia Berhad (KPMB) didapati menghilangkan diri.
Pada 2014, para pembeli berkenaan membayar deposit antara RM8,000 hingga RM10,000 kepada KPMB untuk membeli unit rumah teres kos sederhana rendah berharga RM75,000 hingga RM90,000.
Jurucakap mewakili kumpulan pembeli berkenaan, Mohd. Zamri Abdullah, 53, berkata, pihak koperasi tersebut selaku pemaju masih tidak membina unit-unit rumah tersebut sehingga kini.
“Kali terakhir bertemu pihak pemaju di Kuantan pada 27 Oktober 2018 dan mereka berjanji memulangkan duit kami pada tarikh 30 Jun lalu.
“Baru-baru ini, kami mendapati pejabat koperasi itu di Puchong, Selangor juga telah ditutup dan melarikan diri tanpa memulangkan wang kepada kami.
“Kami menuntut pihak berwajib serta kerajaan untuk mengambil tindakan dan membantu menyelesaikan masalah kami yang ditipu,” katanya semasa sidang akhbar di sini semalam.
Sebagai rekod, Projek Perumahan Taman Cherating Jaya dirasmikan lima tahun lalu dan pihak pemaju mewajibkan pembeli menyertai koperasi tersebut dengan membayar yuran keahlian RM100 berserta deposit pembelian rumah.
Selepas mengutip wang deposit pembelian rumah, pemaju tersebut berjanji membina 422 unit fasa pertama yang dijangka siap sepenuhnya pada 2017, namun tapak pembinaan itu masih kosong sehingga kini.
Mohd. Zamri menambah, mereka juga tidak pernah diberikan resit sejurus membayar deposit serta yuran keahlian koperasi tersebut.
“Ramai pembeli telah membuat laporan polis selepas sedar tertipu dan kami berharap kes ini segera disiasat untuk memberi keadilan kepada kami,” tambahnya. – K! ONLINE











