Tukang paip mohon kerajaan kesan isteri hilang di India - Utusan Malaysia

Tukang paip mohon kerajaan kesan isteri hilang di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 8 Julai – Seorang tukang paip merayu pertolongan saluran diplomatik Kementerian Luar bagi mengesan isterinya yang dipercayai telah hilang di Tamil Nadu, India sejak 29 Jun lalu.

Menurut Mahmud Rahman Shariff, 47, isterinya, Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, dikatakan hilang dari rumah milik ibu saudara wanita itu yang terletak di daerah Panapasam dengan tanpa disedari oleh sesiapa.

Katanya, Habibuneesa sebelum itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kakaknya, Nur Jihan dan seorang anak saudara berusia empat tahun ke Tamil Nadu pada 24 Jun untuk menziarahi saudara-mara di samping melancong ke India.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walau bagaimanapun secara tiba-tiba isteri saya hilang dari rumah pada pukul 3 pagi, 29 Jun sedangkan barangan lain termasuk pasport dan duit masih disimpan dalam bilik tidurnya.

“Sampai sekarang saya bingung dan bimbang ke mana isteri menghilang kerana dia sepatutnya tiba ke tanah air pada 1 Julai lalu, malah lebih menghairankan pintu bilik tidur tidak mempunyai kesan dipecah masuk mahupun dirompak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Wisma Putra di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia, Amir Amsaa Alla Pitchay.

Sehubungan itu, Mahmud berkata, dua laporan polis telah dibuat ekoran kehilangan tersebut yang masing-masing dilakukan di Balai Polis Pandaravadi, Tamil Nadu dan Balai Polis Slim River, Perak.

Bapa kepada dua orang anak tersebut yang kini menetap di Behrang berharap pihak kerajaan dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah untuk membantu mengesan isterinya itu menerusi saluran diplomatik.

“Hal ini kerana walaupun saya setiap hari menghubungi pihak polis Tamil Nadu, tetapi sehingga kini mereka masih belum memberikan sebarang petunjuk atau perkembangan terbaharu atas kehilangan ini.

“Walaupun saya mengesyaki dia telah diculik tetapi tiada sebarang bukti mengenai perkara ini, namun saya menyerahkan kepada pihak berkuasa khususnya Kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan masalah ini,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini