Tubuh reptilia dibelah, kulit disiat hidup-hidup - Utusan Malaysia

Tubuh reptilia dibelah, kulit disiat hidup-hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Jamie Chua sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan warga Singapura.

Sosialit jelita itu sememangnya cukup terkenal kerana memiliki lebih daripada 200 biji tas tangan jenawa mewah, Hermes Birkin.

Chua juga menjadi tular awal tahun lalu apabila pernah menunjukkan sebuah bilik berukuran 65 meter persegi dalam kediamannya yang dipenuhi tas tangan tersebut dan hanya boleh diakses dengan menggunakan cap jari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas isteri hartawan terkenal Indonesia, Nurdian Cuaca itu juga dilaporkan merupakan pemilik tas tangan Birkin paling banyak di dunia.

Dalam satu video yang dikongsi laman web berita antarabangsa popular, Insider, Chua menunjukkan gaya hidup mewahnya dan koleksi tas tangannya yang cukup mengagumkan.

Lebih mengujakan, wanita tersebut turut memiliki beg Hermes jenis Himalayan Crocodile Birkin dengan perincian emas putih.

Termahal dunia

Beg tersebut juga bertatahkan 245 butir berlian dan merupakan antara beg termahal dunia, dijual pada harga AS$300,000 (RM1.23 juta).

Kilauan kulit buaya yang cantik bertekstur itu sememangnya eksklusif dan menjadi igauan peminat tas tangan tersebut.

Berikutan terlalu eksklusif, Hermes dikatakan tidak menjualnya kepada sebarang orang, termasuk selebriti, sebaliknya hanya golongan kaya dan selebriti senarai A berpeluang membeli Hermes jenis Himalaya.

Antara yang memiliki beg tangan itu ialah Victoria Beckham, Tamara Ecclestone, Celine Dion dan Kim Kardashian.

Di sebalik kemewahan dan kecantikan tas tangan berkenaan, ramai yang mula tertanya-tanya proses dan kaedah pembuatan tas tangan Birkin.

Pada tahun 2015, sebuah video yang dirakamkan dengan menggunakan kamera tersembunyi oleh Persatuan Hak Asasi Haiwan (PETA) mendedahkan proses pembuatan tas tangan itu.

Video tersebut cukup menyayat hati kerana ia melibatkan kekejaman terhadap buaya di Lone Star Alligator Farm di Texas, Amerika Syarikat.

Wills Robinson menerusi laman web Mail Online dalam laporan berita eksklusif mendedahkan, proses penghasilan tas tangan mewah popular itu melibatkan kekejaman yang ekstrem terhadap buaya.

Lubang gelap

“Buaya di dalam kandang itu ditahan dan dibiarkan hidup dalam ruang konkrit gelap yang amat kotor seawal usia satu tahun.

“Selepas itu, sekumpulan pekerja di kandang itu akan meletakkan haiwan terbabit di atas sebuah meja dan dibunuh,” kata Robinson.

Kulitnya kemudian diambil, dibeku dan dikeringkan untuk dijadikan tas tangan serta aksesori lain seperti tali jam tangan yang digayakan oleh selebriti terkenal seperti Victoria Beckham, Gwyneth Paltrow dan juga Ashton Kutcher.

Bercerita lebih lanjut, Robinson memberitahu paparan video yang mengganggu emosi itu juga menunjukkan buaya-buaya tersebut ditembak dengan menggunakan senapang di ladang itu.

“Selepas kepala buaya ditembak, leher buaya-buaya itu kemudian dibelah dengan kejam dan pembuluh darah haiwan tersebut dipecahkan.

“Dalam video tersebut, pengurus ladang juga memberi arahan kepada pekerjanya untuk mematahkan tulang belakang buaya yang masih hidup sebelum tubuh mereka dimasukkan sebatang rod besi panjang yang ditusuk jauh sehingga ke bahagian otak,” lapor Robinson.

Buaya-buaya tersebut akan terseksa selama beberapa minit sebelum kesemuanya mati akibat kesakitan yang melampau.

Pendedahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dunia yang tidak menyenangi kekejaman melampau terhadap haiwan tidak berdosa itu.

Fail komplen

PETA Amerika Syarikat kemudiannya memfailkan komplen kepada pihak berkuasa Texas terhadap kekejaman haram yang berjaya dirakamkan menerusi video tersebut.

Rakaman video penyiasat PETA di ladang buaya Padenga Holdings di Kariba, Zimbabwe pula menunjukkan 220 ekor buaya dalam lubang konkrit.

Padenga merupakan salah satu ladang buaya terbesar dunia dan mengedarkan kulit untuk syarikat fesyen gergasi, Hermes.

Pada tahun 2014 sahaja, sebanyak 43,000 ekor reptilia dibunuh untuk menghasilkan tas tangan mewah.

Pengarah PETA, Mimi Bekhechi berkata setiap penghasilan beg Hermes melibatkan pengalaman ngeri dan kematian haiwan yang cukup menyedihkan.

“Pembeli membayar sehingga ratusan ribu dolar untuk penyeksaan haiwan-haiwan di ladang ini. Ia cukup menyedihkan,” jelas Bekhechi.

Susulan laporan kekejaman terhadap reptilia, aktres Jane Birkin dalam satu kenyataan memberitahu dia mahu namanya ditarik semula daripada menjadi ikon kepada jenama tas tangan mewah itu

“Saya sudah memaklumkan dan meminta Hermes untuk menamakan semula ‘Birkin Croco’ kepada nama lain sehingga mereka boleh menghasilkan beg yang memenuhi standard antarabangsa yang tidak melibatkan kekejaman terhadap haiwan,” katanya kepada media pada tahun 2015.

Jelas Birkin, dia sudah menandatangani petisyen Mercy for Animals bersama pelakon Joaquin Phoenix iaitu untuk ‘menyingkirkan kulit eksotik itu daripada almari pakaian’.

Persatuan Hak Asasi Haiwan menerusi satu video yang dirakam secara sembunyi mendedahkan proses penghasilan tas tangan jenama Hermes Birkin, buaya seawal usia setahun akan dikurung, kemudian tulang belakangnya dipatahkan, dirodok dengan rod besi panjang, bahkan kulitnya disiat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini