Tingkat usaha latih pendakwah keturunan Orang Asli - Utusan Malaysia

Tingkat usaha latih pendakwah keturunan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 15 Julai – Kerajaan Pas Kelantan berusaha melatih pendakwah dari kalangan Orang Asli sendiri supaya gerak kerja dakwah dalam kalangan kaum itu berjalan dengan lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, setakat ini terdapat 40 pendakwah berketurunan Orang Asli daripada kira-kira 100 orang yang bertugas mengajar agama kepada masyarakat itu di pedalaman negeri ini.

Beliau berkata, antara cabaran dihadapi adalah kerana masyarakat ini yang masih terikat kuat dengan kepercayaan nenek moyang sekali pun sudah memeluk agama Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita nak menyampaikan dakwah kepada mereka adalah sukar sebab itu kita latih pendakwah dari kalangan Orang Asli sendiri, kita beri pendidikan Islam dan hantar mereka belajar di sekolah agama sehingga ada yang menjadi Imam.

“Apabila Orang Asli sendiri yang memahami bahasa mereka dan budaya mereka hidup bersama dengan mereka sudah tentu menjadi lebih mudah, cuma bilangan yang ada sekarang tidak ramai tetapi kita berusaha termasuk menyediakan kursus khusus untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mahrajan Amal Islami Mualaf peringkat negeri di Kompleks Islam Lundang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Muhammad Hana Pizi Abdullah dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Dr Hasnan Ramli.

Dalam pertandingan itu, seramai 46 peserta mualaf mengambil bahagian melibatkan lima kategori iaitu tilawah al Quran, hafazan, syarahan agama, amali solat serta azan dan iqamat.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata, contoh yang berlaku di Kuala Koh baru-baru ini apabila ada jenazah Orang Asli yang beragama Islam ditanam mengikut adat pada peringkat awal sebelum dikebumikam semula dengan cara Islam adalah antara kesukaran yang dihadapi dalam usaha dakwah kepada masyarakat itu.

“Saya difahamkan (amalan) suku kaum Bateq apabila ada yang sakit mereka akan berpindah ke tempat lain, kalau meninggal dikebumi cara dia, walaupun pendakwah kita ada tetapi sudah tentu tidak mampu ikut mereka sehingga ke dalam hutan.

“Ini kelemahan kita yang perlu kita akui, tetapi kita tetap perlu berusaha dan terus tingkatkan kerjasama antara agensi seperti JHEAIK, Maik dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini