KUALA LUMPUR 8 Julai – Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menjalankan sebarang pembangunan tidak mematuhi penyediaan keperluan infrastruktur untuk orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, berdasarkan Seksyen 70 (13) (c) , Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), pemaju boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tambahan RM 1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan diteruskan.
“PBT boleh mengarahkan (tindakan) Principal Submitting Person (PSP) untuk membuat penambahbaikan ke atas sesuatu bangunan yang belum peroleh Certificate of Completion and Compliance (CCC) seperti dalam penyediaan infrastruktur kepada OKU,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) yang bertanyakan tindakan ke atas pemilik bangunan yang tidak mematuhi penyediaan keperluan infrastruktur bagi OKU yang diwajibkan dalam pembinaan bangunan di negara ini. – UTUSAN ONLINE











