WASHINGTON – Ahli politik, atlet malah angkasawan meraikan kejayaan Amerika Syarikat (AS) menjuarai Piala Dunia Wanita dan Datuk Bandar Ney York mengumumkan akan membuat sambutan kepulangan wirawati.
Jaringan penalti Megan Rapinoe dan rembatan Rose Lavelle membolehkan AS menewaskan Belanda 2-0 dalam aksi final di Lyon, Perancis.
Itu merupakan kejayaan AS merangkul Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut dan yang keempat secara keseluruhan.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada bola sepak wanita di atas kejayaan mereka memenangi Piala Dunia. Itu merupakan pencapaian yang membanggakan.
“Satu penghormatan dari mereka untuk AS,” kata Presiden AS, Donald Trump.
Dalam satu kenyataan, Datuk Bandar Ney York, Mayor Bill de Blasio berkata keyakinan, kejujuran dan ketabahan pasukan bola sepak wanita AS menjadi inspirasi kepada semua yang menontonnya dan mereka akan diberi sambutan kepulangan pada Rabu ini.
Mereka menerima penghormatan yang sama selepas memenangi Piala Dunia pada 2015.
Di Chicago, kira-kira 9,000 peminat memakai baju berwarna merah, putih dan biru iaitu warna di bendera AS dan berkumpul bersama menyaksikan perlawanan tersebut di skrin gergasi sambil melompat dan bersorak setiap kali gol dihasilkan.
“Perlawanan yang menakjubkan untuk ditonton dan badan saya berasa stres sepanjang masa,” kata seorang peminat, Emma MacMillan. – AFP











