KUALA LUMPUR – Pemain tengah skuad hoki negara, Meor Muhamad Azuan Hasan menggesa skuad Malaysian Tigers agar meneruskan momentum selepas muncul naib juara FIH Siri Akhir Lelaki pada awal Mei lalu bagi mengharungi aksi playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Skuad Malaysian Tigers akan berlepas ke Eropah pada 21 Julai ini bagi mengadakan beberapa perlawanan ujian dan persahabatan dengan pasukan Jerman, Sepanyol, Belanda, Belgium, England dan Ireland, sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan terakhir Olimpik.
Selepas jelajah Eropah, skuad negara akan mengambil bahagian dalam perlawanan ujian pra-Olimpik di Tokyo dengan pasukan Jepun, Australia dan New Zealand dari 19 hingga 23 Ogos ini.
“Bagi saya keputusan (pada jelajah Eropah) penting untuk mempengaruhi kita ke aksi kelayakan, jadi kena main ikut taktikal dalam persiapan ke kelayakan Olimpik. Saingan memang agak sengit, kerana akan beraksi menentang negara-negara seperti Sepanyol dan Jerman.
“Jadi ini satu peluang yang baik bagi kita untuk menimba pengalaman dan meningkatkan prestasi kita, kerana berkemungkinan besar akan jumpa pasukan dari Eropah pada November ini,” katanya.
Semalam, jurulatih kebangsaan, Roelant Oltmans berkata, Malaysia yang menduduki ranking ke-12 dunia, berkemungkinan berjumpa dengan salah satu negara yang handal seperti Jerman yang menduduki ranking ke-7 dunia, New Zealand (8), Sepanyol (9) atau Kanada (10) pada pusingan kelayakan terakhir Olimpik, November ini.- BERNAMA











