Tersirat, tersurat gabung parti - Utusan Malaysia

Tersirat, tersurat gabung parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila mendengar dan membaca kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai pelawaan empat parti politik Melayu iaitu (UMNO, Pas, Bersatu dan Amanah) untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadukan dan memperkasakan politik orang Melayu, saya teringat beberapa peribahasa seperti- bersatu kita teguh bercerai kita roboh, ibarat aur dengan tebing dan bulat air kerana pembentung.

Ungkapan tersebut sejak zaman dahulu lagi orang Melayu telah diajar dan dingatkan betapa pentingnya memupuk perpaduan demi mengekalkan kuasa politik di tanah air. Walau bagaimanapun ungkapan tersebut ibaratnya hanya terhantuk baru tengadah dan kesedaran muncul bila kuasa untuk memperjuangkan dan membela hak orang Melayu kian cair dan terhakis.

Tambahan pula struktur parti politik kita yang berteraskan kaum atau bangsa lebih mudah mencorakkan dan menyerlahkan siapa lebih berkuasa dalam memenuhi aspirasi pengundi mereka. Kenyataan Dr. Mahathir tersebut diungkapkan kerana melihat pada PRU Ke-13 dan PRU Ke-14 perpecahan dalam politik Melayu meruncing dan sampai kemuncaknya. Oleh itu, beliau berpandangan menjelang PRU Ke-15 kemungkinan ada parti Melayu baharu akan ditubuhkan dan ini sudah tentu orang Melayu akan terus berpecah bukannya enam tetapi lebih daripada itu. Lantas jurang perpaduan tersekat dan kuasa politik Melayu terus pudar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelawaan Perdana Menteri kepada empat parti politik Melayu untuk menyertai Bersatu telah menimbulkan pelbagai persepsi atau tafsiran dan persoalan daripada pelbagai pihak. Mengapa Dr. Mahathir berbuat demikian adakah beliau benar-benar merasai kuasa politik Melayu dewasa ini amat lemah, terhimpit atau kerisauan dengan pertelingkahan dan dominasi kuasa dalam parti PH itu sendiri atau sebagai pelawaan terbuka untuk mengganggu rentak kerjasama UMNO-Pas? Kuasa Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4, amat berbeza jika dibandingkan sekarang. Dahulu beliau mempunyai kuasa penuh mewakili parti politik Melayu dan melaksanakan pembangunan dan agenda Melayu dan bukan Melayu dengan jayanya.

Sudah cukup

Sekarang realitinya tidak begitu, masih berkuasa tetapi dipengaruhi oleh parti DAP dan PKR dalam perundingan serta membuat keputusan. Oleh itu peranan memperjuangkan kuasa politik Melayu berkurangan. Fenomena tersebut yang membuat Dr. Mahthir memikirkan bagaimana mungkin untuk mendapatkan semula kuasa politik Melayu seperti dahulu, lantas menyuarakan strategi mempelawa parti Melayu lain menyertai Bersatu. Bagaimanapun ada juga pemimpin dalam PH berpandangan berbeza dan menghujah tidak perlu empat atau tiga parti politik Melayu ( PKR, Bersatu dan Amanah) sudah cukup dan mampu memperjuangkan kuasa dan kelestarian politik Melayu.

Dari sudut geopolitik tidak dinafikan kuasa politik Melayu diracik menjadi enam dan sudah tentu sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir cuba menyuarakan tidak perlu lagi ditubuhkan parti Melayu baharu kerana ia memecahbelahkan lagi kuasa politik Melayu itu sendiri. Dr. Mahathir mahu kuasa politik Melayu mestilah dominan dalam mencatur perundingan dasar dan penentu dalam mengurus pembangunan negara. Bagi pengundi Melayu khususnya juga mahukan kuasa politik mereka diperkasakan semula dan dikekalkan untuk menerajui negara.

Dalam kajian Akal Budi Politik Melayu yang dijalankan di Selangor, Kelantan, Kedah dan Johor, 95 peratus daripada mereka menyatakan kuasa politik Melayu perlu dikekalkan sebagai kuasa dominan dan 88.7 peratus mahukan dasar atau polisi kerajaan mengutamakan orang Melayu. Malahan pentadbiran kerajaan hendaklah berlandaskan Melayu dan Islam. Mereka takut kehilangan kuasa politik kerana akan memberi kesan kepada hak-hak keistimewaan Melayu, status bahasa Melayu, agama Islam, institusi Raja, partisipasi dalam ekonomi dan pekerjaan. Ketakutan mereka ada kewajaranya kerana dewasa ini perkara tersebut sudah mula dipersoalkan atau ditafsirkan semula oleh pihak pihak tertentu.

Kesungguhan Tun Dr. Mahathir dalam usaha tersebut dapat dilihat apabila beliau bukan sahaja mempelawa menyertai Bersatu malahan boleh masuk parti lain yang sudah wujud. Beliau juga menjelaskan ini bukan sentimen rasis tetapi untuk kebaikan bersama. Bagaimana pula reaksi dua parti politik Melayu terbesar, UMNO dan Pas terhadap pelawaan ini?

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menolak pelawaan tersebut berdasarkan prinsip mereka yang tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menjalin hubungan politik dengan DAP. Begitu juga dengan Pas, walaupun Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden mengalu-alukan pelawaan Dr. Mahathir, beliau juga menolak dan menyatakan tetap kekal konsisten menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO.

Sebagai kesimpulan, peribahasa diungkapkan tadi hanya menjadi tatapan bukannya teladan yang mesti dimanifestasikan. Pelawaan Dr. Mahathir setakat ini tidak diterima dan bermakna parti politik Melayu terus berpecah. Mesej yang tersirat dalam pelawaan tersebut ialah parti Melayu mesti bersatu dan tidak boleh perpecah lagi atau menubuhkan parti baharu untuk memastikan kuasa politik Melayu perkasa dan dihormati. Persoalannya, apa mungkin menjelang PRU Ke-15 wujud dua gabungan parti politik Melayu iaitu Bersatu- Amanah dan UMNO-Pas, atau gabungan empat parti tersebut di bawah Barisan Bersatu Nasional (BBN)?

PROF. DR. MOHD. FUAD MAT JALI ialah Penganalisis Geopolitik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini