‘Tak mungkin ada 100 orang jadi Perdana Menteri’ - Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

‘Tak mungkin ada 100 orang jadi Perdana Menteri’ – Dr. Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tak mungkin kita ada 100 orang Perdana Menteri.” Cukup menangkap telinga saat Tun Dr. Mahathir Mohamad menuturkan ungkapan itu pada Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) petang ini.

Bukan apa, sangat kena dengan perkembangan politik semasa tanah air yang ketika ini bagaikan sebuah penerbangan yang sedang berdepan turbulence atau cuaca buruk. Tak senang duduk penumpang dibuatnya.

Nasihat Dr. Mahathir itu bagaimanapun dibuat dalam konteks menerangkan kepada pemimpin dan perwakilan Bersatu tentang makna sebenar sebuah perjuangan yang mana kepentingan agama, bangsa dan tanah air sentiasa mengatasi diri sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cuma kata negarawan berusia 94 tahun itu, atas kehendak pentadbiran maka akan ada daripada kalangan mereka yang perlu mengisi jawatan kerajaan daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan sebagainya.

Kalau tak ada yang mengisi jawatan itu, maka negara dan negeri tidak boleh ditadbir dan Dr. Mahathir yang terkenal dengan sinisnya menambah:

“Mereka di situ semata-mata kerana kita perlu pada pentadbiran. Tak mungkin kita ada 100 Perdana Menteri. Semuanya dapat gaji besar, dapat naik kapal terbang free. Kalau itulah perjuangan kita, percayalah kita tak akan tahan satu minggu pun, orang akan tolak kita kerana kita dipandang jijik,” kata Dr. Mahathir

Dalam ucapan lebih setengah jam itu, Dr. Mahathir yang 22 tahun menjadi Presiden UMNO banyak mengingatkan parti baharunya itu mengenai penyakit parti yang menang.

Berulang kali Pengerusi Bersatu itu menegaskan soal perjuangan tidak harus sesekali mengatasi kepentingan diri sama ada untuk merebut jawatan Yang Berhormat, kepemimpinan parti mahu pun nikmat peluang perniagaan.

Sesekali teguran Perdana Menteri itu mendapat sorakan perwakilan. Apa isyaratnya? Sudah tentu setiap parti berkuasa akan menerima ujian-ujian yang dilalui UMNO dan juga parti-parti pemerintah yang lain di seantero dunia.

Bersatu juga pastinya tidak berkecuali kerana ini lumrah, memetik kata-kata Lord Atkins bekas hakim Inggeris terkenal, “kuasa menyebabkan kecenderungan kepada korup,”.

Lebih 70 tahun mengikuti perkembangan politik dunia, Dr. Mahathir mengambil peluang itu menyebut bagaimana parti-parti yang berjaya membawa kemerdekaan akhirnya dihukum rakyat, antaranya di Pakistan dan Ghana. Terbaharu tentunya UMNO.

Menguruskan ujian ‘ghanimah’ iaitu harta rampasan perang kata orang politik memang sangat menduga. Seperti sang suami yang ujiannya paling besar ketika berkuasa dan kaya begitulah juga parti politik.

Parti sekutu Bersatu, PKR kini juga berdepan ujian yang paling getir sepanjang dua dekad penubuhannya. Ujian terbesar ini bukannya datang sewaktu PKR hanya tinggal satu kerusi di Dewan Rakyat pada 2004 tetapi pada saat menikmati kuasa.

Bersatu beruntung kerana semuanya berpusat pada Dr. Mahathir sebagai Pengerusi, namun perjalanan parti itu pastinya tidak mudah. Ujian ketika berkuasa ini sangat-sangat mencabar. Setidak-tidaknya UMNO melewati 60 tahun sebagai kerajaan.

Maka nasib politik Bersatu kini terletak kepada kepemimpinannya di setiap peringkat sejauh mana mereka mampu mengharungi ujian ini. Apatah lagi manusia sentiasa ada nafsu dan iri hati. Paling digeruni tentunya bisikan iblis sejak dari zaman Habil dan Qabil lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini