IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak di Meru di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A’fifullah Shah dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Terdahulu, Zuraida dalam ucapannya berkata, bangunan itu mula dibina pada 12 September 2011 di atas tanah seluas 3.85 hektar dan berjaya disiapkan pada 25 April 2016 dengan kos keseluruhan RM17.5 juta.
Selain dilengkapi blok pentadbiran, bangunan ibu pejabat itu turut mempunyai dewan serbaguna, stor logistik, pondok pengawal, rumah sampah, rumah pam dan tempat letak kereta. – Bernama











