MELAKA 8 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka telah menahan seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang didakwa berlaku pada 2016.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan yang berusia 57 tahun ditahan bersama wanita terbabit yang berusia 34 tahun selepas dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM di Alai di sini kira-kira pukul 11 pagi ini.
Menurut Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya, pemimpin lelaki berkenaan yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri sebelum ini bertanggungjawab bagi portfolio Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) manakala wanita terbabit merupakan kerani di Japerun tersebut.
“Kes adalah berkaitan penyelewengan peruntukan bagi Inisiatif Strategic Linkage di bawah Program Strategik Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tahun 2016 untuk negeri Melaka yang disalurkan kepada Japerun.
“Kedua-dua mereka
telah dibebaskan dengan ikat jamin SPRM dan dikehendaki hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk dituduh esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu mengemukakan tuntutan palsu. – UTUSAN ONLINE











