KUALA KUBU BHARU-Kerajaan Selangor tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun dalam tempoh setahun hingga tiga tahun pertama penguatkuasaan kepada pengusaha yang gagal mematuhi Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Pembangunan bagi setiap aktiviti pelancongan di negeri ini.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, jangka masa setahun pertama ini adalah tempoh penguatkuasaan pendidikan dan pengusaha hanya akan diberikan notis amaran atas kesalahan mereka.
“Hulu Selangor merupakan antara destinasi pelancongan utama di negeri ini. Dengan keluasan kawasan hutan hampir 50 peratus daerah ini menjadi syurga kepada penggemar sukan lasak dan penggemar eko-lancong. Bagaimanapun apabila timbul isu pembinaan resort atau inap desa tanpa kebenaran satu garisan panduan perlu disediakan.
“Di daerah ini direkodkan hanya empat daripada 56 pengusaha mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia berkaitan dengan soal keselamatan pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pemurnian Pelancongan Negeri Selangor (P3S) di Taman Tasik Mellinium, di sini.
Yang turut hadir Pegawai Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan Peradaban Melayu & Warisan Datuk Abdul Rashid Asari dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Shukri Mohammad Yamin, Orang Besar Daerah Hulu Selangor Raja Muzaffar Raja Redzwa serta Ahli-ahli Majlis.
Amirudin berkata, selain bertujuan memutihkan premis-premis dan aktiviti pelancongan di daerah ini garis panduan berkenaan juga bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin serta membolehkan produk mereka dipromosikan dengan lebih meluas,” katanya.
MDHS merupakan PBT perintis bagi P3S dan bakal diperluaskan ke daerah lain di seluruh Selangor.-UTUSAN ONLINE











