KUALA LUMPUR 8 Julai – Tiga beranak yang dilapor sesat selepas menjalankan aktiviti meredah hutan di Taman Tumbina, Bintulu, Sarawak ditemukan selamat kira-kira pukul 10.20 pagi hari ini.
Portal Utusan Borneo melaporkan, wanita dikenali sebagai Tan Piaw Hua, 36, bersama dua anak lelakinya, masing-masing berusia 9 tahun dan 7 tahun, dikatakan gagal mencari jalan keluar setelah menjalankan aktiviti riadah di kawasan tersebut sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, sebanyak empat anggota dikerahkan ke lokasi untuk mencari dan menyelamat mangsa selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.47 pagi.
“Sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba dengan bantuan pasukan polis telah memulakan kerja-kerja mencari tiga mangsa yang tersesat di kawasan hutan rekreasi itu.
“Setelah hampir setengah jam mencari, kesemua mangsa telah ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira pukul 10.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN ONLINE











