Selepas Liga Perdana, Sabah intai Piala Malaysia - Utusan Malaysia

Selepas Liga Perdana, Sabah intai Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU  – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perubahan pucuk pimpinan dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) adalah rahsia utama kejayaan pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana musim ini, sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi.

Beliau berkata, komitmen tinggi  ditunjukkan  seluruh pihak pengurusan SAFA khususnya Pemangku Presidennya Datuk Peter Anthony sejak kira-kira tujuh bulan lepas telah terbukti dan ia adalah hasil kerjasama semua pemain dan pihak pengurusan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh pengurusan SAFA terutamanya kepada Peter kerana berjaya menjulang trofi Liga Perdana musim ini dan berjaya ke Liga Super pada musim akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya harap prestasi pasukan dapat dikekalkan untuk menghadapi Piala Malaysia dan Liga Super  musim akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan trofi kejuaraan Liga Perdana 2019, di Stadium Likas malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta beberapa barisan pimpinan Kabinet negeri.

DItanya mengenai habuan atau ganjaran yang bakal diterima pemain Sabah setelah berjaya menjuarai Liga Perdana musim ini, Mohd. Shafie berkata, perkara itu sudah dibincangkan, namun ia akan diputuskan kemudian.

“Apa yang penting adalah bukan ganjaran, namun kita mahu lihat pemain terus bersemangat untuk bermain kerana kita mahu menghasilkan lebih banyak pemain profesional di Sabah sehingga mewakili negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, Stadium Likas  bergema dengan sorakan kejuaraan lebih 10,000 penyokong pasukan bola sepak Sabah selepas menyaksikan Piala Liga Perdana dijulang malam tadi.

Kejayaan tersebut lebih manis apabila skuad Tambadau menunjukkan aksi cemerlang dengan mengalahkan Kelantan dengan jaringan 1-0.

Kali terakhir Sabah memenangi kejuaraan dalam Liga Malaysia ialah pada 1996, dan kemenangan musim ini disahkan selepas mereka menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, Rabu lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah mengumpul 40 mata selepas 18 perlawanan, tujuh mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di kedudukan kedua. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini