JOHOR BAHRU 16 Julai – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mula melaksanakan operasi memburu premis komersial berdaftar yang liat membayar cukai harta bermula bulan ini.
Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB, Muhammad Iqbal Arami Mohamed Sharif berkata, pihaknya mengenal pasti 61,000 pegangan membabitkan tunggakan berjumlah RM94.8 juta.
“MBJB menyasarkan kutipan cukai harta berjumlah RM30 juta pada tahun ini. Untuk merealisasikan perkara itu kita akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara lebih agresif bermula sekarang.
“Sejak Januari tahun ini sehingga kini, kita telah berjaya mengutip RM25.2 juta daripada 26,000 pegangan di kawasan pentadbiran MBJB,” katanya ketika menjalankan operasi sitaan cukai harta MBJB di Bandar Baru Uda, di sini sebentar tadi.
Tambah beliau, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pegangan yang liat membayar cukai harta melebihi tiga tahun dalam operasi yang dijalankan. – UTUSAN ONLINE











