SHAH ALAM – UMNO bahagian Shah Alam bersepakat mengusulkan agar agenda penyatuan UMNO dan Pas disegerakan secara rasmi.
Ketuanya, Datuk Azhari Shaari berkata, sudah sampai masanya UMNO dan Pas memperkuatkan ukhuwah sesama ahli-ahli parti agar kesucian agama Islam tidak dicemari anasir luar.
“Isu seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh orang bukan Islam, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan penyokong Pakatan Harapan yang menafsirkan Islam mengikut fahaman liberal dan ajaran bercanggah Ahli Sunnah Wal Jamaah memerlukan kekuatan ummah diperkuatkan.
“Kita sesungguhnya kesal kerana hukuman kepada penghina Nabi Muhammad contohnya amat ringan. Ada sesetengah yang menghina Islam masih gagal dibawa ke muka pengadilan, adakah kita terlalu lemah bila berpecah?, ” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
Mesyuarat perwakilan itu dirasmikan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Azhari berkata, kerjasama kedua-dua parti itu juga bagi memastikan kebajikan rakyat negara ini yang majoritinya umat Islam dibantu secara holistik.
“Hari ini, agenda untuk membantu umat Islam diserah kepada badan zakat sedangkan ada kelompok tertentu yang tidak mempunyai hak di sisi Perlembagaan Persekutuan diberi bajet untuk membuat sekolah hingga menelan puluhan juta ringgit.
“Sebelum ini, di bawah Barisan Nasional (BN) pelbagai bantuan kewangan diberi dari Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), baucer buku, bantuan untuk penoreh getah dan peladang kelapa sawit di Felda. Kekayaan negara diagih sama rata membuktikan BN prihatin kesusahan rakyat,” katanya. – K! ONLINE











