Riza Aziz tak mengaku terima wang haram AS$248 juta - Utusan Malaysia

Riza Aziz tak mengaku terima wang haram AS$248 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$248.173 juta hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapan tahun lalu.

Riza atau nama sebenarnya Riza Shahriz Abdul Aziz, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah semua pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, penerbit filem Hollywood, ‘Wolf Of The Wall Street’ itu didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah antara AS$1.17 juta dan AS$133 juta melalui lima transaksi pemindahan wang daripada akaun Good Star Ltd. dan Aabar Investment PJS Ltd. ke akaun Red Granite Production dan Red Granite Capital.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengasas bersama syarikat pembikinan filem, Red Granite Pictures itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di City National Bank, Los Angeles Main, 535, South Flower Street, Los Angeles, California, Amerika Syarikat dan BSI Bank Ltd. 7, Temasek Boulevard, 32-01, Suntec Tower One, Singapura antara 12 April 2011 dan 14 November 2012.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5 juta dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Turut hadir mengikuti prosiding pendakwaan tersebut adalah dua adik tiri tertuduh iaitu Norashman dan Nooryana Najwa.- UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini