KOTA BHARU – Jumlah 23 jaringan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) dalam kancah Liga Perdana setakat ini menghadirkan rasa gerun buat Kelantan menjelang pertemuan dengan pasukan itu di Stadium Hang Jebat, Melaka malam esok.
Tanpa berselindung, pengendali Kelantan, Yusri Che Lah mahu pemainnya, terutama pertahanan memberi ‘layanan’ istimewa kepada jentera serangan tuan rumah.
Yusri berkata, jentera serangan PDRM perlu disekat dengan sebaik mungkin jika TRW tidak mahu keciciran mata dalam perlawanan penting itu.
Menurutnya, Kelantan perlu mencuri sekurang-kurangnya satu mata jika mahu terus kekal dalam saingan Liga Perdana musim depan.
“Saya harap barisan pemain dapat terus memperagakan aksi terbaik sebagaimana yang diperagakan ketika menumbangkan Selangor United (2-0), Jumaat lalu.
“Walaupun ketika itu kita sedang berdepan ‘masalah’ namun pemain tetap menunjukkan semangat profesional yang tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yusri memberitahu, dia juga berharap gandingan Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Daniel Haqim Deraman dapat terus menjadi nadi untuk menggerakan bahagian tengah TRW pada perlawanan itu nanti.
Katanya lagi, kedua-dua tonggak ini disifatkan cukup cemerlang membantu pasukan dalam aksi terdahulu.
“Begitu juga dengan Mohd. Farisham Ismail dan Shahrul Nizam Roshasni yang bertanggungjawab mengemudi jentera pertahanan.
“Saya harap mereka ini akan terus menjadi nadi untuk mengunci serta merantai pergerakan jentera serangan tuan rumah nanti,” katanya.
Selepas mengharungi 17 perlawanan Kelantan menghuni tangga ke-10 Liga Perdana dengan mengumpul 14 mata, empat mata mengatasi pasukan tercorot, Sarawak. – UTUSAN ONLINE











