Rangka strategi dekati generasi muda seawal 15 tahun - Utusan Malaysia

Rangka strategi dekati generasi muda seawal 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR 21 Julai – Sayap Pemuda pembangkag UMNO; MCA; MIC dan Pas akan bekerjasama merangka strategi mendekati rakyat seawal umur 15 tahun dalam mendedahkan mengenai budaya politik yang membawa kebaikan kepada negara secara jangka masa panjang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu berikutan keputusan kerajaan menurunkan had umur kelayakan mengundi dan ahli Dewan Rakyat serta Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, menurut beliau, strategi itu bukan bermaksud mereka mahu menerapkan elemen berpolitik dalam minda generasi muda, sebaliknya lebih kepada pendedahan berkenaan struktur dan suasana pentadbiran negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia juga sebagai persediaan kepada generasi muda supaya mereka tidak mudah menerima propaganda yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab yang boleh mempengaruhi mereka membuat keputusan salah dalam memilih pemimpin masa depan negara,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia dalam majlis minum petang dan usrah Pemuda UMNO dan Pas Bahagian Tasek Gelugor di Bagan Belat di sini petang ini yang turut dihadiri Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Yusuf Ghani dan Ketua Dewan Pemuda Pas kawasan itu, Abdul Razib Abdul Rahim.

Dalam program hari ini, Asyraf turut menyertai perlawanan persahabatan bola sepak antara Pemuda UMNO dan Pas Tasek Gelugor di Padang Awam Pekan Darat di sini.

Sementara itu, Asyraf berkata, sayap Pemuda UMNO dan Pas ketika ini tidak akan menoleh ke belakang lagi dalam menjayakan agenda perpaduan ummah seperti digerakkan pucuk kepemimpinan kedua-dua parti.

Malah, kata beliau, ahli-ahli sayap kedua-dua parti itu juga sudah melepasi fasa kefahaman berhubung kerjasama berkenaan dan kini bersedia menjadi tulang belakang dalam memperkuatkan serta mengukuhkan lagi kerjasama tersebut.

“Sebab itu selain menerusi platform yang lebih formal seperti mesyuarat, perbincangan dan pentas ceramah, kita kini menggerakkan kerjasama secara lebih santai seperti menerusi aktiviti sukan dan gotong-royong supaya kerjasama yang terjalin dapat dieratkan lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini