Rakan sempat paut bahu Adam sebelum ‘hilang’ - Utusan Malaysia

Rakan sempat paut bahu Adam sebelum ‘hilang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG – Seorang rakan sempat mengerah segala kudratnya dengan menarik bahu murid Tahun Enam, Wan Mohammed Adam Mohd. Suria, 12, untuk menyelamatkannya namun tidak berjaya.

Malah, Imam Mushaddad Mohd. Nazman, 12, hanya mampu melihat Wan Mohammed Adam ‘ditarik’ ke bawah perut bas sebelum hilang dari pandangan mata.

Kejadian itu mengakibatkan Imam Mushaddad kehilangan rakan baik yang dikenali sejak Tahun Dua buat selama-lamanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menceritakan kembali detik tersebut, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok itu berkata, sebelum kejadian Adam pergi ke bahagian hadapan bas sambil berbual-bual dengan pemandu bas berkenaan.

“Dia seorang berada di atas tangga manakala empat lagi rakan kami berada di lorong tengah bas itu. Secara tiba-tiba dia jerlus jatuh ke bawah namun sempat berpaut.

“Saya pegang bahu dia namun (kudratnya) tak gagah, dia semakin ‘turun’ ke bawah sebelum terjatuh. Saya tidak dapat selamatkan dia,” ujarnya ketika ditemui selepas jenazah Wan Mohammed Adam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka malam tadi.

Imam Mushaddad berkata, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata sehingga mereka tidak berdaya berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, kejadian itu hanya disedari pemandu selepas seorang pelajar perempuan menjerit di dalam bas sebelum kenderaan itu dihentikan.

“Saya hanya mampu tengok dia hilang tapi tak berani pergi dekat selepas kejadian itu. Semasa kami naik bas itu tidak nampak lubang.

“(Permukaan) lantai nampak biasa, lapik dengan papan ada karpet atasnya. Bila Adam pijak dia jerlus ke bawah,” katanya menceritakan keadaan lantai bas yang tidak kelihatan berlubang kerana dilapik dengan papan dan karpet.

Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi semalam, Wan Mohammed Adam maut di tempat kejadian akibat parah di seluruh badan.
 
Sebelum kejadian, seramai 31 murid SK Tok Bok, Machang berada dalam bas berkenaan sedang dalam perjalanan ke Besut, Terengganu.

Siasatan polis mendapati, mangsa bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu dan melompat di kawasan lantai reput semasa bas sekolah sedang bergerak.

Secara tiba-tiba mangsa melompat ke bahagian hadapan pintu sebelum terjatuh dan digilis menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini