JOHOR BAHRU 15 Julai – Jabatan Pertanian Negeri Johor (JPNJ) disyorkan melakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan Program Galakan Usahawan (PGU) di negeri ini, dapat dilaksana dengan lebih cekap dan berkesan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2018, JPNJ disyor menyemak semula objektif program itu supaya selaras dengan pemilihan peserta, membuat sasaran dan anggaran peruntukan setiap tahun bagi membantu bengkel ke arah Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta mengkaji semula kaedah pemilihan peserta bagi memastikan hanya peserta berkelayakan dan menjalankan perusahaan sepenuh masa sahaja dipilih.
Antara lain, JPNJ turut disyorkan memastikan dasar dan peraturan yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pelaksanaan PGU tidak bertentangan dengan akta lain yang berkuat kuasa dan memastikan pemantauan terhadap usahawan dilaksanakan selepas tiga bulan bantuan diterima.
“PGU dimulakan pada 1994 di bawah peruntukan Pejabat Menteri besar dan dikenali dengan nama Kempen Gerakan Usahawan. Mulai 2016, peruntukan program ini terus diberikan ke JPNJ dan diselia sepenuhnya oleh JPNJ.
“PGU menyasarkan golongan usahawan kecil yang baru dalam bidang keusahawanan untuk dibimbing dan dibantu dengan terdapat tiga projek utama difokuskan iaitu Projek Industri Kecil (PIK), Projek Tanaman Fertigasi (PTF) dan Projek Tanah Terbiar (PTT).
“Bagi tempoh 2016 hingga 2018, kerajaan negeri Johor membelanjakan RM9.14 juta untuk PGU dan membantu seramai 1,395 usahawan,” menurut laporan berkenaan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut laporan itu, pengauditan yang dilakukan antara September dan Disember tahun lepas merumuskan bilangan peserta program PIK yang menerima bantuan adalah baik kerana meningkat setiap tahun.
Namun, sasaran pendapatan melebihi RM3,000 sebulan masih belum tercapai kerana hanya seramai 32 penerima bantuan PIK atau 26.4 peratus pada 2016 dan 23 penerima atau 17.2 peratus pada 2017 berjaya meningkatkan pendapatan melebihi RM3,000 sebulan.
Laporan itu menyebut, selain itu, hanya dua usahawan PIK mendapat pensijilan MeSTI manakala bagi PTF, hanya 77 peratus pengusaha menjalankan tanaman fertigasi manakala 23 peratus bakinya tidak mengusahakan tanaman terbabit.
“Pengurusan PGU secara keseluruhannya kurang cekap disebabkan kelemahan dalam pemilihan peserta program, syarat kelulusan projek, penggunaan alatan bantuan dan pemantauan seperti berikut iaitu 32 usahawan PIK tidak menggunakan 50 bantuan peralatan bernilai RM135,335; enam peralatan bernilai RM35,450 yang diterima tidak memenuhi keperluan perniagaan usahawan dan tiga bengkel Projek Fokus yang dibina di daerah Batu Pahat bernilai RM90,000 tidak digunakan.
“Selain itu, enam usahawan yang menerima alatan bantuan bernilai RM31,530 tidak digunakan sepenuhnya kerana menjalankan perusahaan secara bermusim, tiga usahawan belum menggunakan alatan bantuan PTF bernilai RM8,290 yang diberikan dan 10 usahawan yang menerima bantuan PTF bernilai RM104,115 tidak lagi meneruskan tanaman fertigasi,” menurut laporan tersebut. – BERNAMA











