KUALA LUMPUR – Perodua menyedari kewujudan produk dan alat ganti tiruan di pasaran yang menggunakan jenama tersebut dan sebahagiannya sukar dibezakan dengan yang tulen.
Ini termasuk minyak pelincir, penapis minyak, penyerap kejutan dan pad brek.
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd. Datuk Dr. Zahari Husin berkata, perkara itu amat membimbangkan kerana produk tersebut merupakan barangan kritikal.
“Pelanggan boleh terpedaya membeli dan menggunakan barangan tiruan ini pada kenderaan mereka, ini bukan sahaja akan membatalkan waranti tetapi boleh menjejaskan keselamatan dan keadaan kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Perodua kini mengambil inisiatif menganjurkan sesi perjumpaan bersama pegawai-pegawai penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) sebagai satu daripada usaha menghalang perkembangan produk dan alat ganti tiruan di pasaran, – UTUSAN ONLINE











