KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MPM), SM Nasarudin SM Nasimuddin masih belum memanggil satu mesyuarat Exco diadakan bagi membincangkan tarikh baharu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang tertangguh sebelum ini.
Ahli Exco MPM dari Persatuan Olahraga Para, Datuk (Mejar) R. Subramaniam ketika dihubungi mengesahkan belum menerima apa-apa berita mengenainya kerana hanya presiden boleh memanggil mesyuarat tersebut untuk diadakan.
“Kami masih menunggu arahan daripada Presiden MPM untuk memanggil mesyuarat Exco. Setakat hari ini tiada apa-apa panggilan (surat atau arahan) lagi yang saya terima,” kata Subramaniam.
Mesyuarat Exco mesti diadakan terlebih dahulu susulan daripada AGM yang ditangguhkan Sabtu lalu bertujuan untuk membincangkan tindakan-tindakan yang akan diambil termasuk menentukan tarikh baharu mesyuarat.
Keputusan daripada mesyuarat Exco itu kemudiannya akan diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk dinilai dan diluluskan sebelum AGM boleh diadakan kembali.
Selain kelulusan tarikh baharu, isu lain yang kini menjadi perhatian dan ditunggu-tunggu ialah soal pencalonan yang dijangka akan turut mendapat pertimbangan PJS.
Yang menjadi persoalan, apakah PJS akan mempertimbangkan semula untuk menggunakan borang pencalonan lama yang menjadi pertikaian sebelum ini apabila lima calon menghantar lewat daripada tarikh yang ditetapkan atau adakah pencalonan baharu akan dibuka untuk membolehkan semua calon layak bertanding?. – UTUSAN ONLINE











