PNK miliki bot C2 untuk kembangkan industri perikanan - Utusan Malaysia

PNK miliki bot C2 untuk kembangkan industri perikanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membantu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) menjadi peneraju industri perikanan laut dalam untuk meningkatkan hasil pendapatan dan menggalak belia tempatan tampil sebagai nelayan moden.

Pengerusinya, Faiz Fadzil berkata, LKIM akan membantu menerusi peruntukan khas Tabung Pembangunan Ekonomi Nelayan berjumlah RM71. 7 juta.

Beliau berkata, PNK digalakkan memiliki bot besar (C2) yang beroperasi di zon laut dalam sebagai cabaran berdaya maju dalam industri perikanan negara yang sekali gus akan mengurangkan kebergantungan terhadap awak-awak nelayan asing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Belia tempatan perlu diberi latihan khusus sebagai tenaga sumber manusia yang cekap. Bagi mencapai matlamat ini PNK perlu menjadi penggerak mengubah minda belia untuk berminat menjadi nelayan moden yang berpendapatan tinggi.

“Jabatan Perikanan sentiasa membuka peluang bagi mendapatkan lesen bot C2 di mana nelayan perseorangan yang memiliki modal boleh memohonnya dengan memenuhi kreteria yang telah ditetapkan termasuk pengalaman 10 tahun menangkap ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan dialog dengan nelayan Bachok, di Restoran Nelayan, Pengkalan Petah, dekat sini, hari ini.

Pada majlis yang sama Faiz turut menyampaikan Bantuan Titik Sentuhan berupa pukat dan peti simpanan ikan kepada sepuluh nelayan terpilih berjumlah RM10, 000.

Beliau juga menziarahi tiga rumah nelayan miskin di daerah itu untuk menyampaikan bakul makanan.

Faiz berkata, bantuan perlu disalurkan kerana perbelanjaan membeli dan mengurus sebuah bot C2 memerlukan modal yang besar mencecah RM2 juta.

“Jabatan Perikanan juga sentiasa membuka ruang kepada nelayan pantai untuk memiliki lesen sampan khas dan dari Januari hingga Jun sebanyak 1,000 permohanan lesen berkenaan di seluruh negara diluluskan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga turut menimbang semula rayuan nelayan yang tersisih sebagai penerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) selepas pemutihan senarai penerima dilaksanakan.

“Kita masih menerima rayuan semula dan tuduhan ESHN akan dimansuhkan adalah tidak benar. Kita berusaha memastikan hanya nelayan tulis menikmati manfaat yang disediakan kerajaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini